KUALA LUMPUR, 8 Zulhijjah 1438H, Rabu – Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendesak kerajaan Malaysia untuk mengusir semua warga Myanmar dari negara ini jika keganasan terhadap etnik muslim Rohingya berterusan.
Dalam berdepan tindakan ganas terbaharu askar rejim Myanmar ke atas etnik muslim Rohingya sejak beberapa hari lalu, Mapim berkata, kekejaman sedemikian tidak boleh diterima lagi.
“Anda tiada apa-apa kaitan dengan kami dan anda mesti kembali ke negara kamu. Kami tidak akan menghadapi masalah tanpa anda di sini. Anda tidak perlu berada di sini,” kata Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan Myanmar di sini hari ini.
Puluhan anggota polis ditempatkan di sekitar Kedutaan Myanmar, tatkala penunjuk perasaan berkumpul di Ampang Park kira-kira jam 11 pagi tadi, membantah layanan yang diberikan rejim Myanmar terhadap etnik Rohingya.
Etnik Rohingya tidak dibenarkan menghampiri kedutaan itu dan kebanyakan mereka berkumpul di Stesen LRT Ampang Park dan bangunan Tabung Haji bersebelahan kedutaan itu.
Wakil kedutaan itu menerima memorandum berkenaan dan kumpulan itu kemudiannya beredar, walaupun polis menangkap beberapa orang setelah dipercayai bertindak liar.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman mengesahkan tangkapan itu dan berkata, sesetengah penunjuk perasaan mula menganggu kenderaan yang lalu lalang selain menyebabkan kesesakan teruk di kawasan berkenaan.
Mohd Azmi berkata, juga mendesak kerajaan Malaysia membuat penegasan sekali lagi terhadap kezaliman Myanmar ke atas etnik minoriti itu.
Beliau berkata, penegasan ini adalah titik terakhir dan sekiranya tiada respon positif daripada pihak Myanmar, maka rakyatnya di negara ini mesti dihalau.
“Kerajaan dulu sudah buat pendirian, tetapi sekarang berlaku lagi. Janganlah beretorik. Kalau begini rupanya kita halau semua orang Myanmar dari Malaysia.
“Ini sahaja jalan mengajar mereka, ini bukan soal kita tidak hormat,” katanya.
The post Mapim desak halau rakyat Myanmar appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Mapim desak halau rakyat Myanmar
0 Komentar untuk "Mapim desak halau rakyat Myanmar"