Gema Semua Maklumat

Krisis Qatar: Jangan terus hukum, perlu dengar dua pihak

Krisis Qatar: Jangan terus hukum, perlu dengar dua pihak

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 17 Zulkaedah 1438H, Khamis – Isu ketegangan lima negara di rantau Teluk yang memutuskan hubungan dengan Qatar, Jun lalu perlu dilihat daripada aspek menyeluruh termasuk kedua-dua belah pihak.

Ulama terkenal Arab Saudi, Sheikh Dr A’idh Al-Qarni berkata, beliau percaya pasti ada ‘perkara’ yang tersembunyi sehingga membawa kepada tahap itu.

“Di Saudi kita ada Jawatankuasa Ulama-Ulama Besar yang dianggotai oleh 25 ulama, yang telah 70 tahun berada dalam medan ilmu. Saya percaya mereka, jika mengeluarkan sesuatu pandangan, akan melihat pendapat kedua-dua belah pihak.

“Kita perlu dengar daripada kedua belah pihak untuk jatuhkan sebarang hukum atau keputusan,” katanya dalam sesi soal jawab Wacana Ilmiah: Ekstremisme Agama dan Kesannya Terhadap Dunia Islam di sini, hari ini.

Sheikh A’idh berkata, ia bukanlah soalan baharu yang ditanyakan oleh orang ramai yang mahu mengetahui pandangan beliau berhubung krisis membabitkan negaranya itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung konflik di rantau itu, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berautoriti yang mengeluarkan pandangan.

“Soalan yang sama jika ditanya, saya akan beritahu bahawa jika setiap pendakwah mengeluarkan pandangan mereka, ia akan menyebabkan fitnah dan berlaga antara satu sama lain.

“Sebaiknya kita kembalikan kepada pihak berkuasa yang mengeluarkan pandangan,” katanya.

Jun lalu, lima negara Arab membabitkan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Yaman dan Mesir memutuskan 100 peratus hubungan dengan Qatar selepas masing-masing mendakwa Doha melindungi pengganas, menyokong militan Syiah Hizbollah, al-Qaeda, campur tangan dalam hal ehwal negara lain dan cuba mencetuskan perselisihan di kalangan pegawai kerajaan asing.

Antara kumpulan ekstremis yang didakwa Arab Saudi dibantu dan disokong oleh Qatar ialah Ikhwanul Muslimin; ISIS dan al-Qaeda dengan maksud merencana hasutan menerusi media mereka.

Kelima-lima negara itu juga menutup ruang udara mereka kepada Doha serta tidak membenarkan rakyat Qatar memasuki negara mereka.

The post Krisis Qatar: Jangan terus hukum, perlu dengar dua pihak appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Krisis Qatar: Jangan terus hukum, perlu dengar dua pihak
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Krisis Qatar: Jangan terus hukum, perlu dengar dua pihak"

Back To Top