Gema Semua Maklumat

Ulama mesti bercakap halang muncul pemikiran songsang Islam

Ulama mesti bercakap halang muncul pemikiran songsang Islam

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 17 Zulkaedah 1438H, Khamis – Ulama terkenal Arab Saudi, Sheikh Dr A’idh Al-Qarni menyeru golongan ulama dan pendakwah supaya tidak berdiam diri dan membiarkan puak khawarij (ekstrem) mengambil kesempatan menyebarkan fahaman mereka kepada masyarakat Islam.

Bahkan, beliau menggesa golongan ulama untuk bercakap dan terus menyebar kefahaman yang benar mengenai Islam kepada masyarakat, sekali gus menenggelamkan usaha ideologi songsang disebarkan.

“Pelampau mampu menyebarkan fahaman mereka sedangkan ulama senyap. Apabila ulama senyap maka tumbuhlah pemikiran-pemikiran yang salah sebegini. Jika ada pemikiran yang benar, ulama bercakap maka pemikiran-pemikiran yang salah ini akan senyap dan tenggelam.

“Di Arab Saudi ada lebih 10 universiti yang mempunyai fakulti pengajian Islam. Setiap tahun berbelas ribu graduan dilahirkan, mana pergi semua sekali? Takkan senyap sahaja. Kerana senyap ulama, maka lahirlah pemikiran itu,” katanya dalam syarahan Wacana Ilmiah: Ekstremisme Agama dan Kesannya Terhadap Dunia Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Sambil merujuk lebih 45 buah negara yang pernah dilawatinya beliau sebelum ini, Sheikh A’idh berkata, keadilan sosial sesebuah negara juga mendorong mengurangkan penyebaran fahaman songsang dan ekstremisme.

“Saya lihat negara-negara yang mempunyai keadilan sosial yang baik seperti Malaysia misalnya, kurang dengan masalah pemikiran ekstremisme. Tetapi, negara-negara yang sistem pembahagian keadilan sosialnya agak lemah, maka lahirlah pemikiran sebegini. Jadi apakah penyelesaiannya? Ia berbalik seperti tadi, iaitu keadilan,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya melaksanakan Islam yang sebenar, di mana ia akan menutup hujah-hujah puak berkenaan terhadap agama hari ini.

“Jika kita lihat media pada hari ini, walaupun media negara Islam, adakah ia melambangkan Islam? Jadi ini semua menjadi hujah mereka untuk mengatakan adakah ini Islam yang kamu mahu bawa. Kita hendaklah menutup hujah berkenaan dengan melaksanakan Islam yang benar.

“Dan, dakwahlah dengan cara berhikmah dan penuh pengajaran. Ikut cara dakwah sebagaimana dalam al-Quran dan Sunnah, yang boleh menutup pemikiran ekstremis ini,” katanya.

The post Ulama mesti bercakap halang muncul pemikiran songsang Islam appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Ulama mesti bercakap halang muncul pemikiran songsang Islam
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Ulama mesti bercakap halang muncul pemikiran songsang Islam"

Back To Top