Gema Semua Maklumat

JPJ nafi arah pemandu lori tanggal pakaian

JPJ nafi arah pemandu lori tanggal pakaian

BANGI, 25 Jamadilawal 1439H, Ahad – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan dakwaan anggota penguatkuasanya mengarahkan beberapa pemandu lori menanggalkan pakaian sebagaimana tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

JPJ dalam satu kenyataan semalam berkata, satu laporan polis telah dibuat salah seorang pemandu lori terbabit pada 9 Februari lalu, yang menafikan tohmahan dan dakwaan tidak berasas itu.

Sejak beberapa hari lalu, tular gambar beberapa pemandu lori separuh bogel bersama anggota penguatkuasa JPJ.

Mereka didakwa diarahkan untuk menanggalkan pakaian dan hanya memakai seluar dalam oleh anggota JPJ berkenaan kerana tidak memenuhi suapan yang diminta.

Menjelaskan dakwaan itu, JPJ berkata, insiden berkenaan berlaku pada sekitar Mei 2015, melibatkan empat anggota penguatkuasa dari Stesen Penguatkuasa (SPK) Mentara.

Menurut JPJ, pasukan berkenaan diarahkan oleh SPK Mentara untuk menjalankan rondaan di sekitar Jalan Aring ke Tasik Kenyir.

“Lebih kurang jam 2.30 petang, kelihatan tiga buah lori jenis semi-treller kargo am sedang parkir secara berderetan di bahu jalan tanpa pemandu dan menghalang lalulintas.

“Pasukan ini telah mendekati kenderaan tersebut untuk membuat pemeriksaan terhadap kenderaan yang mana pemandunya tiada dalam kenderaan tersebut,” kata kenyataan itu.

JPJ berkata, ketika insiden berkenaan, pemandu lori terbabit sedang mandi di atas bukit berdekatan dan bergegas turun dengan hanya berseluar dalam.

“Mereka telah memperkenalkan diri sebagai pemandu lori tersebut. Ketua pasukan telah mengarahkan mereka untuk mengambil pakaian namun mereka memberi alasan pakaian mereka berada di atas bukit.

“Disebabkan berasa malu dan takut dilihat oleh masyarakat yang lalu di kawasan itu, mereka telah duduk di sebelah kanan belakang kenderaan JPJ,” katanya.

Kenyataan itu menjelaskan, semua pemandu lori terbabit telah memohon maaf supaya tidak dikenakan tindakan, termasuk mengulangi kesalahan itu.

“Pasukan JPJ telah mengarahkan mereka mengalihkan kenderaan tersebut ke tempat yang lebih sesuai dan menasihati supaya tidak mengulangi perkara tersebut.

“JPJ menyeru masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang cerita, perkongsian mahupun berita tanpa mendapatkan kepastian daripada sumber yang benar,” katanya.

The post JPJ nafi arah pemandu lori tanggal pakaian appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Credit kepada tyrazalhe sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di JPJ nafi arah pemandu lori tanggal pakaian
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "JPJ nafi arah pemandu lori tanggal pakaian"

Back To Top