BATU PAHAT, 24 Jamadilawal 1439H, Sabtu – Mana-mana negara tidak perlu gusar terhadap Malaysia yang menerima permintaan rasmi daripada China untuk mengekstradisi 11 etnik Uighur Islam yang dilaporkan ditahan di negara ini selepas melarikan diri dari penjara Thailand, tahun lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata Malaysia sedang mempertimbangkan permintaan China itu, namun siasatan terperinci sedang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika ada dalam kalangan 11 individu itu terlibat dalam keganasan.
“Kita telah memperolehi permintaan rasmi daripada China untuk 11 orang Uighur yang telah ditangkap di Thailand yang masuk negara itu daripada wilayah Yunan terutama yang datang dari Urumqi dan beberapa wilayah lain di China (yang dilaporkan telah ditahan di Malaysia).
“Prinsip kita ialah kalau sesebuah negara memohon supaya rakyat mereka diekstradisi, kami (akan buat) keputusan berdasarkan perjanjian ekstradisi yang termaktub di dalam Bantuan Perundangan Bersama (MLA),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Bersama Kepimpinan Negara Sempena Minggu Haluan Siswa Pelajar Baharu Program Sarjana Muda di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, hari ini.
Turut hadir isteri timbalan perdana menteri Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UTHM Prof Dr Wahid Razzaly. – Bernama
The post Malaysia timbang permintaan China untuk ekstradisi 11 etnik Uighur Islam appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada firdaus.sayeda sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Malaysia timbang permintaan China untuk ekstradisi 11 etnik Uighur Islam
0 Komentar untuk "Malaysia timbang permintaan China untuk ekstradisi 11 etnik Uighur Islam"