Gema Semua Maklumat

BERKOTA DALAM RUMAH

BERKOTA DALAM RUMAH -
Kita yang hidup pada tahun 2020 ini diserang penyakit akibat Corona Virus. Belumlah kita pasti berapa banyak korban yang akan berjatuhan diseluruh dunia. Belumlah juga kita pasti, sejauh mana dahsyatnya virus ini. Namun, kelihatannya penangan virus ini telah mengancam seluruh manusa segenap pelusuk dunia.

Lebih 600 tahun yang lalu, telah tersurat dalam sejarah manusia satu jenis penyakit yang menelan korban yang bukan kepalang lagi banyaknya. Itulah wabak yang disebut sebagai Taun Hitam (Black Death). Taun ini dikatakan bermula daripada Asia barat dan merebak ke Benua Eropah. Ia mengamuk selama 5 tahun bermula daripada tahun 1347M sehingga 1351M . Sejumlah antara 75 juta sehingga 200 juta jiwa dianggarkan terkorban kerana wabak ini.

Inilah wabak yang dicatat dalam sejarah Eropah sebagai wabak paling dahsyat dalam sejarah manusia. Penduduk Eropah telah surut dengan teruk dan 1/3 warganya telah maut.

Jika kita buat bacaan tentang wabak-wabak yang menyerang manusia sepanjang sejarah, tahulah dan sedarlah kita bahawa manusia amat lemah berdepan dengan kuasa pencipta. Manusia banyak mati ketika Allah SWT dengan jabarutnya menggempakan bumi atau meletuskan gunung berapi maupun membawa hentaman tsunami. Namun kematian itu jika dibandingkan dengan kamatian akibat makhluk seni bernama virus, adalah kecil!

Hanya dengan makhluk seni yang tidak kelihatan oleh mata itu, manusia tewas. Manusia banyak terkorban. Allah mahu kita sedar bahawa di atas langit ada langit. Tiada makhluk yang gagah melainkan akan tewas dengan makhluk yang lemah. Itu kerana yang sejati gagah perkasa adalah yang mencipta makhluk yang lemah itu.

Apalah sangat dengan virus itu. Ia lemah berbanding manusia. Tetapi kerana ia ciptaan yang Maha Gagah, ia boleh mengalahkan manusia! Ia boleh menelan korban ratusan juta hanya dalam beberapa hari. Takut kepada virus tersebut hendaklah menjadi lambang takut dan gerun kepada penciptanya.

Kita berdoa agar korban Covid19 ini dapat dikurangkan. Mungkin belajar daripada kesilapan ummat manusia dahulu dapat membantu. Kitab-kitab dan catatan sejarah banyak menyebut bahawa orang dulu-dulu ketika diserang wabak, mereka berkumpul dan beribtihal beramai-ramai. Disangka dengan cara itu dapat menolak bencana wabak, sebaliknya dengan cara itu mereka dengan mudah dilibas wabak.

Kerana itu, jauhi ijtimak, perkumpulan atau bersentuhan. Patuhi arahan kerajaan yang telah mengambil nasihat para pakar dan pengalaman sejarah.


Kelak, sewaktu Yakjuj dan Makjuj mengamuk, tiada yang selamat kecuali yang mengurungkan dirinya dalam kota. Yang berpeleseran di luar, mati semuanya. Nabi Isa pun, ketika itu berlindung di balik kota!

Jadi, untuk serangan Corona Virus, rumah anda adalah kota anda.


Credit kepada sumber asal Artikel di BERKOTA DALAM RUMAH
Tag : agama
0 Komentar untuk "BERKOTA DALAM RUMAH"

Back To Top