Gema Semua Maklumat

Beza Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan

Beza Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan

SAYA sangat sedih membaca berita viral dalam Sinar Harian online (23.11.17), bertajuk “Cikgu suruh pelajar buat kerja sendiri”. Antara kandungannya, cikgu suruh buat kerja sendiri, tak belajar dan hanya main bersama rakan-rakan dalam kelas menjadi punca sebahagian besar pelajar tidak ke sekolah pada hari-hari terakhir sebelum menjelang cuti sekolah akhir tahun.

Seorang murid Tahun Lima yang hanya mahu dikenali sebagai Haniff berkata, dia kini berselang-seli pergi sekolah kerana tidak tahu apa yang boleh dilakukan hinggalah sesi sekolah tamat.

Dia yang tinggal bersama neneknya hanya menjaga adik di rumah dan sudah dua hari tidak ke sekolah sejak minggu lalu.

“Buat apa nak ke sekolah, bukan ada buat apa pun. Dahlah tak belajar, cikgu pun tak marah kalau ponteng. Tapi saya akan pergi juga sekolah, mungkin dalam tiga hari terakhir takut kalau ada apa-apa cikgu nak maklumkan.

“Kalau di sekolah ada aktiviti sukan, seronok juga. Ini tak ada apa-apa pun nak dibuat,” katanya ketika ditemui berjalan bersama rakannya di kawasan kedai.

Seorang lagi murid Tahun Lima hanya mahu dikenali sebagai Azli berkata, jika ada aktiviti atau program makan-makan barulah dia mahu ke sekolahnya terletak di Puchong, Selangor.

“Bukan saya tak mahu pergi sekolah, memang tak ada buat apa pun. Hari-hari buat kerja sendiri di sekolah pun bosan juga. Bukan boleh pergi padang pun, kena duduk dalam kelas saja buat kami jemu dan bosan. Kalau duduk di rumah boleh juga berjalan pergi kedai dan main di padang,” katanya.

Tinjauan terhadap seorang murid tahun enam yang hanya mahu dikenali sebagai Intan berkata, ada guru yang masuk ke kelas, namun murid disuruh membuat kerja sendiri.

“Cikgu masuk kelas suruh keluarkan buku dan baca sendiri tanpa mengajar apa-apa. Manalah kami nak baca, lagipun Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dah habis, buat apa baca buku sekolah rendah lagi. Takkanlah kami nak bawa buku teks Tingkatan Satu pergi sekolah, belum masanya lagi,” katanya.

Di sinilah beza antara sekolah aliran kebangsaan (SK dan SMK) dengan jenis kebangsaan (SJK Cina/Tamil). Selepas sahaja tamat peperiksaan akhir tahun atau peperiksaan formal (PT3), boleh dikatakan rata-rata pelajar pelajar di SK tidak belajar, sama ada sekolah aliran rendah mahupun menengah.

Guru-guru sibuk memeriksa kertas peperiksaan. Selepas memeriksa, masa terluang dibiarkan begitu sahaja. Ada dalam kalangan guru masuk ke kelas tidak lagi mengajar. Tidak kurang yang asyik bermain telefon pintar.

Ini menjadikan murid-murid tidak mahu ke sekolah. Bila ditanya kenapa tidak mahu ke sekolah, maka jawapannya; “buat apa pergi ke sekolah, bukan belajar pun”. Lebih kelakar lagi mereka melihat ada guru-guru yang merokok di depan pelajar tanpa segan silu

Beza sungguh SK dengan SJKC. Pergilah ke SJKC, kita akan dapat melihat bahawa guru-guru SJKC sibuk mengadakan kelas ulang kaji untuk pelajar-pelajar yang akan menaiki kelas tahun seterusnya. Pendek kata, pengajaran dan pembelajaran berjalan seperti biasa. Semakan kertas peperiksaan dibuat di rumah.

Murid-murid SJKC semua teruja pergi ke sekolah, kerana di sekolah, cikgu masuk ke kelas dan mengajar mereka subjek yang akan diambil tahun seterusnya. Beginilah keadaan SJKC untuk memastikan sekolah mereka terus relevan dengan arus perdana dan berada pada tahap kecemerlangan.

Peliknya kenapa budaya sebegini tidak ada di SK. Apa sudah jadi dengan SK. SK hanya teruja melihat selepas keputusan peperiksaan diumumkan, mereka mahu melihat berapa A yang diperoleh, peratusan meningkat atau tidak. Matlamat mereka bukan mendidik, tetapi melihat keputusan peperiksaan.

Tanda aras ini juga digunakan untuk menilai kecemerlangan sesebuah sekolah dan guru-guru. Sehinggakan PIBG pun terikut-ikut. PIBG berbangga kerana dapat menyediakan kemudahan tambahan prasarana sekolah. Sedangkan matlamat PIBG bukanlah ke arah itu sebenarnya.

Lebih malang lagi dalam kalangan YDP PIBG mereka sibuk menubuhkan kumpulan whatsApp dan berbangga dengan pencapaian membantu kemudahan fizikal sekolah. YDP inilah yang diangkut ke sana ke mari untuk menceritakan kehebatan dan kejayaan mereka bersama membangunkan kemudahan sekolah. Tumpuan kepada pembentukan sahsiah dan akhlak seolah-olah dilupakan.

Adakah tangungjawab PIBG membina kemudahan tambahan atau bangunan sekolah? Bukankah PIBG ditubuhkan untuk membantu sekolah membina sahsiah anak-anak sekolah. Kenapa sistem pendidikan kita begitu jauh beza dengan SJKC? Jangan dibanding dengan di negara maju seperti Jepun, dan sebagainya.

Pendidikan Jepun sentiasa menerapkan ‘making people making product’, membina insan sebelum mengeluarkan produk. Prinsip inilah yang banyak membantu negara ini pantas bergerak maju, bahasa dan budaya Jepun mengakar. Sedangkan kita masih tidak ke mana-mana seolah-olah tiada hala tuju.

Isu aliran mana lebih baik sama ada sekolah aliran kebangsaan atau aliran Inggeris masih ternganga-nganga. Nak pilih yang mana satu? Aliran kebangsaan atau Inggeris? Pelik sungguh, dalam sebuah negara berasaskan sistem kenegaraan Melayu. Berada dalam kepulauan Melayu, masih tidak boleh membezakan, pendidikan menggunakan bahasa manakah yang terbaik. Tertanya-tanya saya, Malaysia terletak di kepulauan Inggeris atau kepulauan China?

Saya sangat teruja menyorot pengalaman, Ow Yong Kean Guan (2001) yang pernah belajar di Jepun. Persoalan yang sepatutnya kita fikirkan, mengapa Jepun boleh menjadi kuasa ekonomi dunia dalam jangka masa pendek? Sistem pendidikan apa yang dipakai? Begitu juga kejayaan Jepun boleh keluar sebagai sebuah negara maju dalam jangka masa pendek selepas Hirohima dan Nagasaki menjadi padang jarak, padang tekukur ketika Perang Dunia Kedua 1945?

Sistem pendidikan mereka telah terbukti berjaya dan berkesan. Peliknya, kita tahu mereka yang terbaik, kenapa tidak mencontohi Jepun. Sekurang-kurang diubahsuaikan mengikut kehendak tempatan. Pendidikan di Jepun mewajibkan rakyat mereka mendapat pendidikan antara enam hingga 15 tahun. Sembilan tahun pendidikan wajib ini dilalui dan ia meliputi enam tahun sekolah rendah dan tiga tahun sekolah menengah bawah.

Guru sekolah rendah di Jepun dihormati dan dihargai. Segala kemudahan dan insentif diberikan. Pada tahap rendah inilah pembinaan insan bermula, bukan setelah menjadi buluh. Lebih mengagumkan lagi, guru sekolah rendah mungkin mendapat gaji yang lebih tinggi, berbanding pensyarah universiti yang baharu mula berkhidmat.

Boleh dikatakan semua guru sekolah rendah mempunyai ijazah. Sebahagian kecil sahaja yang tidak mempunyai ijazah. Itupun mereka sangat digalakkan untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Mungkin sukar untuk kita mencontohi sekolah di Jepun kerana hanya mempunyai satu sesi disebabkan oleh keadaan cuaca mereka, tetapi tidak mustahil.

Negara kita pun sebenarnya tidak ada masalah sekiranya kita banyak melaburkan untuk pendidikan. Modal insan inilah yang akan membangunkan negara jika diberi acuan yang baik.

Justeru, saya mencadangkan, pertama, perbanyakkan pembinaan bangunan sekolah, agar sekolah mempunyai satu sesi sahaja dapat direalisasikan.

Jika masalah bahasa Inggeris yang menjadi keutamaan, dengan adanya sekolah satu sesi, masa untuk pembelajaran dan pengajaran bahasa asing boleh ditambah, bukannya dengan merubah sistem, menjadikan bahasa Melayu ibarat melukut di tepi gantang.

Kedua, selepas tamat peperiksaan, kelas-kelas mesti ‘hidup’ seperti biasa. Kenapa terlalu berorientasikan peperiksaan? Bagaimana dengan pembinaan insan? Pendidikan agama, akhlak dan moral mesti diberikan. Kelas-kelas tidak boleh ditinggalkan kosong.

Di Jepun, komitmen guru mereka sangat tinggi. Mereka bekerja sehingga lewat petang. Hari minggu pun, mereka turut bekerja membimbing pelajar dalam kegiataan kokurikulum.

Ketiga, lihat bagaimana Jepun melatih anak-anak sekolah. Sekiranya murid itu terlalu kecil, seperti Tahun Satu. Mereka akan dibawa ke sekolah oleh ibunya (kyoiku mama). Mereka dikehendaki berjalan kaki ke sekolah atau mengambil pengangkutan awam.

Bagi murid yang lebih besar, mereka akan berbasikal ke sekolah. Keinginan ibu bapa untuk anaknya berjaya di sekolah sangat jelas, sehingga mereka dikenali sebagai kyoiku mama, bermaksud ibu pendidikan.

Menurut Ow lagi, kadang kala, terdapat ibu yang pergi ke kelas tuisyen yang sama dengan anaknya supaya dia boleh membimbing anaknya dalam pembelajaran. Pendek kata, kerja sama antara ibu dan guru begitu rapat. Mereka turut sama bertanggungjawab dalam aspek keselamatan jalan raya dengan bertugas di tepi simpang jalan raya untuk memastikan bahawa murid sekolah melintas dengan selamat.

Selain itu, disiplin sekolah boleh dikatakan ketat dan dijalankan tanpa ketakutan atau kecenderungan. Kelas sekolah rendah dipecahkan kepada beberapa waktu dalam sehari. Setiap waktu adalah 45 minit. Waktu rehat sepanjang 10 hingga 20 minit dikhaskan antara waktu pengajaran dan pembelajaran.

Di Jepun, murid di sekolah rendah tidak dikelaskan mengikut pencapaian akademik mereka. Ia bertujuan mengurangkan lagi perbezaan antara kelas ‘pandai’ dan kelas ‘bodoh’. Pada masa sama, menghilangkan persepsi guru apabila mengajar kelas ‘pandai’ berbanding dengan kelas lemah atau ‘bodoh’.

Dengan cara ini, menurut Ow, kelas dipecahkan kepada kumpulan kecil di mana bukan sahaja murid lelaki dan perempuan dicampur dalam kumpulan yang sama, malah pencapaian akademik mereka sengaja dijadikan heterogenus atau kepelbagaian.

Tambah beliau lagi, satu lagi keistimewaan ialah tidak ada ketua darjah yang tetap sepanjang tahun. Semua murid diberi peluang merasakan beban tanggungjawab sebagai seorang ketua darjah. Satu ciri istimewa sekolah rendah Jepun ialah walaupun terdapat dapur sekolah, tetapi tiada kantin sekolah! Murid dan guru makan dalam bilik darjah masing-masing. Apa yang menarik ialah pengendalian, pengagihan, dan layanan makanan dilakukan 100 peratus oleh murid kelas yang terbabit.

Pada waktu rehat makan, makanan yang siap dimasak di dapur sekolah oleh tukang masak (diupah oleh sekolah), dibawa ke kelas masing-masing melalui troli oleh wakil murid. Murid yang tinggal dalam kelas akan mengatur dan menyediakan kerusi meja untuk sesi makan.

Menu makanan diumumkan lebih awal lagi. Satu sampel makanan mesti disediakan dan dipamerkan di tempat khas. Ini bertujuan memudahkan mereka membuat siasatan sekiranya terdapat makanan yang tercemar atau keracunan makanan.
Selain itu, sepanduk dan carta yang mencerminkan matlamat sekolah, kelas atau kumpulan sering dilihat di dalam bilik darjah mahupun di luar.

Masya-Allah, hebat sungguh pendidikan di Jepun, kenapa kita tidak mengambil iktibar? Mereka sangat konsisten. Kita pula bagaimana? Sistem pendidikan seolah-olah diperjudikan. Kejap kekal, kejap berubah, macam Yo Yo. Jika ada NGO yang kuat sikit, mendesak dan menekan, kita pun goyang, seperti NGO yang mahu kita beralih semula kepada aliran Inggeris.

Begitu juga dalam soal pengiktirafan UEC. Kenapa perlu takut kepada mereka? Dasar tetap dasar. Perlembagaan tetap Perlembagaan. Sebab itu saya tabik dengan pendidikan di negara maju dan negara sedang membangun seperti Thailand dan Indonesia. Jati diri mereka mengakar dan tidak diperjudikan.

Justeru, saya mohon dan rayu, jangan perjudikan sistem pendidikan. Apabila berubah menteri, maka berubah sistem. Masing-masing mahu menunjukkan dan meninggalkan legasi mereka. Akhirnya, anak-anak menjadi mangsa.

Berapa ribu rakyat Malaysia yang telah dihantar ke Jepun dan luar negara untuk mencari ilmu dan menimba pengalaman, kenapa tidak mengambil iktibar? Jangan sampai orang kata ‘buang beras sahaja’. Wang habis berjuta menghantar rakyat ke luar negara, tetapi kita tidak mengambil pengajaran.

Kepada cikgu-cikgu aliran kebangsaan, sudah sampai masanya kita berubah. Keluarlah daripada zon keselesaan. Perkhidmatan perguruan hari ini lebih baik daripada kami sebagai pensyarah universiti, meskipun kami berada di institusi pengajian tinggi.

Cikgu-cikgu boleh naik pangkat dan naik gaji menggunakan time based, kami belum tentu lagi. Semua bergantung kepada KPI. Selain daripada pengajaran dan pembelajaran, kami dipantau dari sudut penyelidikan, penerbitan dan khidmat masyarakat.

Sudah sampai masanya, kita tidak hanya memikirkan soal berapa ramai yang dapat straight A, tetapi berubah kepada berapa ramai yang berakhlak A? Sedih membaca berita saban hari, pelajar sekolah rendah dan menengah merokok dan melahirkan anak dalam tandas. Rupanya, cikgu juga tumpang semangkok.

Saya tidak kata semua, tetapi itulah hakikatnya. Lebih sedih melihat ramai cikgu-cikgu yang merokok, termasuk merokok di depan murid. Jika cikgu kencing berdiri, murid pula bagaimana? Dia bukan sahaja kencing berlari, tetapi terus naik ke atas pokok dan kencing ke atas kepala cikgunya.

Pergilah melawat SJKC, belajarlah dan ambillah iktibar. Saya kerap kali menyindir dan menentang aliran vernacular (SJKC), tetapi itu bukan bermakna, saya buta dengan kelebihan dan kebaikan mereka, kerana anak-anak saya ramai yang belajar di sana. Mereka boleh mempelajari bahasa Cina, tanpa melupakan akar tunjangnya iaitu Bahasa Melayu.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

The post Beza Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Beza Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Beza Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan"

Back To Top