KUALA TERENGGANU, 19 Syaaban 1438H, Selasa – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) memaklumkan, kadar penceraian pada usia senja di negeri ini semakin meningkat dan membimbangkan.
Pegawai Agama JHEAT daerah Kuala Terengganu, Mohd Ariffin Jusoh berkata, trend perceraian dalam kalangan warga emas semakin meningkat sejak lima tahun lalu, dengan kebanyakannya berusia antara 60 hingga 70 tahun.
Beliau berkata, kebanyakannya adalah berpunca daripada pertemuan semula dengan rakan lama, selain kecurangan pasangan.
“Kebanyakan mereka datang menjalani sesi kaunseling di pejabat JHEAT sebelum memilih perceraian sebagai kata putus.
“Sebahagian besar mereka juga memilih perceraian pada usia berkenaan dengan alasan menangguh berbuat demikian kerana komitmen anak, walaupun berdepan masalah sejak awal.
“Jika dahulu memang jarang yang bercerai pada usia senja, tetapi kini masalah itu semakin meningkat. Kebanyakan mereka mendakwa sudah lama mahu bercerai tetapi tidak berbuat demikian kerana komitmen anak dan mengambil keputusan bercerai selepas semua anak sudah bekerja dan berkahwin,” katanya selepas Program Derma Darah JHEAT di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Ariffin berkata, sebanyak 2,245 kes perceraian direkodkan sepanjang tahun lalu kebanyakannya berpunca daripada masalah kisah silam.
“Ia berlaku apabila seorang daripada pasangan hadir ke perjumpaan semula (reunion) dan bertemu kekasih lama, selain penyebaran maklumat kecurangan pasangan melalui aplikasi WhatsApp.
“Trend terbaharu juga merekodkan jumlah tinggi kalangan pasangan yang bercerai kerana mahu berkahwin dengan kekasih lama selepas perjumpaan menerusi program pertemuan semula yang mereka ikuti.
“Kira-kira 200 kes perceraian dilaporkan setiap bulan sepanjang tahun lalu dan kebanyakannya berpunca daripada masalah pasangan yang didakwa tidak bertanggungjawab,” katanya.
Khuatir dengan statistic itu, Mohd Ariffin berkata, pasangan seharusnya tidak terburu-buru mengambil keputusan bercerai selepas melihat kecurangan pasangan melalui laman sosial atau aplikasi WhatsApp, sebaliknya perlu menyiasat secara terperinci dan hadir ke sesi kaunseling sebagai langkah perdamaian dan mengelak perceraian.
The post Makin ramai cerai pada usia senja di Terengganu appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Makin ramai cerai pada usia senja di Terengganu
0 Komentar untuk "Makin ramai cerai pada usia senja di Terengganu"