Gema Semua Maklumat

Cukup-cukuplah mempolitikkan surau masjid

Cukup-cukuplah mempolitikkan surau masjid

“Kita risau kalau PAS kalah, automatik AJK masjid terbubar, orang UMNO ambil alih.”

Demikian kerisauan Pengerusi Surau Al-Ikhwaniah, Kampung Pandan Dalam, Haji Mahdi.

Beliau yang juga Ketua PAS cawangan Pandan Selatan (di bawah PAS Kawasan Pandan) berkata, perkara itu tidak mustahil kerana masjid-masjid dikuasai kecenderungan politik masing-masing.

“Kalau PAS menang kawasan ini, ustaz-ustaz PAS yang boleh mengajar. Kalau tuan nak masuk mengajar masjid kawasan ini, saya boleh kenalkan kepada nazir dan saya kata ini jemaah saya,” katanya lagi.

—-
ITU sedikit petikan sembang-sembang Pedang dengan orang surau baru-baru ini.

Kesimpulan awal yang boleh dibuat ialah terdapat masjid dan surau masih belum terlepas sepenuhnya daripada cengkaman politik kepartian yang menatijahkan perpecahan umat Islam setempat.

Tapi kita tidak boleh memukul rata semua masjid dan surau sedemikian, hakikatnya masjid surau yang neutral adalah lebih banyak berbanding yang cenderung kepada mana-mana parti.

Menjadi hak sesiapa pun termasuk ahli jawatankuasa masjid untuk bergiat aktif dalam parti politik tetapi dalam menguruskan hal ehwal masjid, seharusnya sentimen kepartian ini diketepikan.

Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berulang kali memberi peringatan agar institusi masjid dibebaskan daripada pengaruh politik.

Bahkan baginda mahukan peranan menyatupadukan rakyat dimainkan bersungguh-sungguh oleh pihak masjid.

Contoh kes yang disebutkan oleh pengerusi surau di atas adalah benar-benar berlaku. Antara puncanya ialah di kawasan tersebut, berlaku perebutan satu lawan satu antara calon UMNO dan PAS pada pilihan raya umum yan lepas.

Pedang berharap dengan perkembangan politi terkini yang memperlihatkan hubungan positif antara dua parti Melayu Islam itu akan menghapuskan terus sentimen perbalahan antara penyokong parti yang telah merebak ke masjid dan surau setempat.

Amatlah rugi sekiranya masjid yang aktif dengan pelbagai aktiviti, akhirnya menjadi kosong dan sunyi sepi setelah kekalahan parti tertentu yang menyebabkan pertukaran ahli jawatankuasa masjid secara automatik.

Pedang juga tak mahu kesucian masjid tercemar seperti apa yang dilakukan oleh pemimpin parti rasis dan cauvinis DAP, Sivarasa yang ditegur langsung oleh Sultan Selangor.

Pelik betul perkara begini boleh berlaku, dan ia tak sepatutnya berlaku pun jika semua pihak mengutamakan maslahat umat Islam mengatasi kepentingan parti politik masing-masing.

Kata Pedang: Pedang tak boleh bayangkan jika institusi masjid benar-benar memainkan peranan sepatutnya dalam menyatupadukan dan membangunkan umat Islam.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

The post Cukup-cukuplah mempolitikkan surau masjid appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Cukup-cukuplah mempolitikkan surau masjid
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Cukup-cukuplah mempolitikkan surau masjid"

Back To Top