Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 11 Syawal 1438H, Rabu – Ketua Penerangan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali akui sedih melihat sebahagian ahli politik negara yang ‘gagap’ berbahasa Melayu meskipun lancar berbahasa Inggeris.
Katanya, keadaan itu jelas dilihat terutama dalam sesi perbahasan di Parlimen dan dalam interaksi seharian menerusi sidang atau ceramah politik.
“Ia menimbulkan persoalan: Adakah mereka tidak bergaul dalam satu masyarakat kepelbagaian bangsa? Atau mereka merasa jelik berbahasa Melayu tetapi bangga berbahasa Inggeris? Kenapa mereka boleh mempelajari Bahasa Inggeris sedang gagal untuk menguasai Bahasa Melayu?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata demikian sebagai mengulas serta merujuk isu kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk jawatan secara kontrak pegawai perubatan, yang hangat diperbincangkan kebelakangan ini.
Katanya, langkah yang dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu menunjukkan kelonggaran jati diri pentadbir Malaysia dalam menegaskan prinsip bernegara sebagaimana isu pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.
“Warga asing seperti Bangladesh dan Myanmar boleh sahaja berbahasa Melayu dengan fasih dalam tempoh enam bulan bekerja di Malaysia, kenapa pula ia tidak boleh dilakukan oleh ahli politik? Malah “Mat Dang Pulau Redang”, orang berkulit putih daripada United Kingdom boleh fasih berbahasa dialek Terengganu dengan pelbagai peribahasa rakyat hanya dalam setahun bermukim di Terengganu sehingga menjadi ikon di media elektronik.
“Integrasi kaum di negeri Terengganu, Kelantan dan Kedah menyaksikan bagaimana rakyat keturunan cina dan india bertutur dalam dialek negeri sehingga tidak dapat dibezakan sama ada mereka berketurunan cina, india atau berketurunan Melayu. Bagi saya itu adalah contoh kejayaan integrasi kaum.
“Namun, saya bimbang jika kedapatan rakyat Malaysia yang lahir dan membesar dalam Malaysia tetapi masih tidak boleh berbahasa Melayu sehingga pada usia dewasa. Integrasi kaum perlu diperkasakan!,” katanya.
The post Sedih ahli politik gagap berbahasa Melayu: Khairuddin appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Sedih ahli politik gagap berbahasa Melayu: Khairuddin
0 Komentar untuk "Sedih ahli politik gagap berbahasa Melayu: Khairuddin"