Gema Semua Maklumat

Mustafar Akyol ditahan kerana gagal hadirkan diri dipanggil Jawi

Mustafar Akyol ditahan kerana gagal hadirkan diri dipanggil Jawi

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 5 Muharram 1439H, Selasa – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menahan ativis liberal Turki, Mustafar Akyol semalam ekoran kegagalannya menghadirkan diri untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kerana mengajar agama Islam tanpa tauliah.

Pengarahnya, Abdul Aziz Jusoh dalam satu kenyataan berkata, siasatan terhadap penulis dan wartawan Turki terbabit dibuat selepas pihak Jawi menerima aduan awam mengenai penglibatannya dalam majlis yang dianjurkan oleh Islamic Renaissance Front (IRF) di ibu negara pada Ahad lalu.

“Sehubungan itu, Jawi telah menyampaikan surat perintah hadir kepada Mustafa Akyol pada 24 September 2017 untuk membantu siasatan Jawi pada 25 September 2017.

“Oleh kerana kegagalan beliau untuk hadir memberikan keterangan pada tarikh yang dikehendaki, maka Jawi telah memohon kepada Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mengeluarkan waran tangkap ke atas beliau di bawah Seksyen 58(2) Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560) bagi melengkapkan siasatan atas kesalahan mengajar tanpa tauliah,” katanya.

Katanya, Mustafar ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam menerusi waran tangkap tersebut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum dibawa ke Jawi untuk dirakam keterangan.

Dia bagaimanapun dibebaskan pada jam 12 tengah hari tadi, selepas pihak penguatkuasa agama Jawi melengkapkan siasatan dan berpuas hati dengan keterangannya.

Menurut Abdul Aziz, Mustafar mendakwa bahawa dia tidak dimaklumkan oleh penganjur berhubung keperluan mendapatkan tauliah daripada pihak berkuasa agama bagi mana-mana individu yang mahu mengajar mengenai agama Islam di Malaysia.

“Lantaran itu, Jawi menasihatkan kepada mana-mana penganjur supaya memastikan para penceramah yang diundang untuk menyampaikan apa jua bentuk ceramah berkaitan dengan agama Islam, mempunyai tauliah mengajar seperti yang dikehendaki undang-undang negara ini.

“Mana-mana penceramah yang gagal berbuat demikian akan diambil tindakan menurut undang-undang mengikut Seksyen 11 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 dan penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Malah katanya, penganjur juga boleh didakwa mengikut undang-undang yang sama kerana bersubahat jika sabit kesalahan.

Mustafa Akyol sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi mendakwa bahawa tiada hukuman untuk dosa di dalam al-Quran.

Dalam forum anjuran IRF juga, beliau berkata, perkara-perkara berkenaan dosa peribadi, al-Quran tidak memberikan sebarang hukuman, namun, ulamak memperkenalkan hukuman ke atas perkara-perkara dosa melalui qiyas.

Malah dalam satu tulisannya, Akyol mendakwa murtad bukan satu kesalahan kerana tindakan keluar Islam dianggap satu bentuk kebebasan beragama, dan perlu dilihat sebagai hak, bukan jenayah.

The post Mustafar Akyol ditahan kerana gagal hadirkan diri dipanggil Jawi appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Mustafar Akyol ditahan kerana gagal hadirkan diri dipanggil Jawi
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Mustafar Akyol ditahan kerana gagal hadirkan diri dipanggil Jawi"

Back To Top