PERTUBUHAN BANGSA BERSATU, 5 Muharram 1439H, Selasa – Myanmar menafikan berlakunya pembersihan etnik di Rakhine sebaliknya menuduh kumpulan pemberontak yang menakut-nakutkan penduduk muslim Rohingya supaya melarikan diri ke negara jiran Bangladesh untuk menarik perhatian, lapor agensi berita China Xinhua.
“Biar saya perjelaskan, tidak berlaku pembersihan etnik atau genosid.
“Sangat dikesali bahawa tuduhan tidak berasas seringkali diulang di perhimpunan ini seolah memberi gambaran berlakunya pembersihan etnik dan pembunuhan beramai-ramai di Rakhine,” kata Duta Besar Myanmar ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Hau Do Suan dalam ucapannya pada hari terakhir Perhimpunan Agung PBB.
Beliau berkata, penggunaan istilah seperti kekejaman, pembersihan etnik dan genosid tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya.
“Penggunaan istilah itu hanya boleh digunakan berserta bukti sangat kukuh,” katanya.
Terdahulu, ketua jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, kira-kira 436,000 pelarian dari Rakhine kebanyakannya wanita dan kanak-kanak tiba di Bangladesh.
Sejak beberapa minggu lepas, laporan mengatakan etnik minoriti Islam Rohingya dihalau keluar dari Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Budha.
Sejak sekian lama muslim Rohingya mendakwa didiskriminasi.
“Pemimpin Myanmar… tidak akan menyokong dasar sedemikian, kami akan melakukan segala-galanya untuk menghalang pembersihan etnik dan genosid. Masalah di Rakhine sangat kompleks,” katanya.
Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (ARSA) mengaku bertanggungjawab melakukan serangan maut ke atas beberapa balai polis di Rakhine pada 25 Ogos.
Susulan itu, Do Suan berkata, kerajaan Myanmar telah mengisytiharkan ARSA sebagai kumpulan pengganas.- Bernama
The post Myanmar nafi pembersihan etnik berlaku di Rakhine appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Myanmar nafi pembersihan etnik berlaku di Rakhine
0 Komentar untuk "Myanmar nafi pembersihan etnik berlaku di Rakhine"