BANGI, 23 Zulhijjah 1438H, Khamis – Ditubuhkan kira-kira 23 tahun lalu, Persatuan Persahabatan Malaysia-Myanmar akan dibubarkan sebagai tanda protes terhadap kekejaman rejim Myanmar terhadap etnik muslim Rohingya.
Serentak itu, persatuan berkenaan juga menasihatkan semua ahlinya supaya menggantung segala urusan dan hubungan ekonomi serta sosial dengan rakan mereka di Myanmar, sehingga terdapat perubahan atau susulan positif kerajaan negara itu.
Persatuan itu ditubuhkan Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz sejak tahun 1994 dan banyak mengadakan program meningkatkan hubungan sosio ekonomi antara kedua-dua negara.
Pemangku Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-Myanmar, Datuk Mustapha Yaakob berkata, langkan itu diambil selepas mendapat nasihat ahlinya sebagai memprotes kekejaman rejim Myanmar terhadap penduduk Islam.
“Persatuan berpendapat adalah tidak ada erti untuk rakyat Malaysia meneruskan persahabatan dengan negara yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi yang tidak punya perikemanusiaan dan tidak langsung peduli kepada warga dunia yang menyatakan prihatin dan bantahan terhadap tindakan ‘kebinatangan’ askar-askar Myanmar yang melanggar hak-hak kemanusiaan dan membunuh nyawa manusia dengan sesuka hati dan sewenang-wenang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, persatuan melihat kerajaan Myanmar di bawah Suu Kyi gagal menunjukkan sikap kemanusiaan dan ketamadunan manusia.
“Malah, watak kepemimpinan Aung San Suu Kyi jelas melambangkan seorang yang berpersonaliti ‘bukan manusia’ dan ‘sudah kehilangan naluri kemanusiaan’ dengan membiarkan pembunuhan jiwa kanak-kanak, wanita lemah dan orang tua yang tidak melakukan sebarang dosa kepada negara dan bangsa Myanmar. Mereka diseksa dan dibunuh hanya kerana mereka beragama Islam,” katanya.
Beliau berkata, ahli jawatankuasa persatuan berkenaan akan menubuhkan Persatuan Solidariti Rakyat Malaysia-Rohingya yang akan membantu mempertahankan hak-hak masyarakat Rohingya di Malaysia dan Myanmar.
The post Persatuan Persahabatan Malaysia-Myanmar bubar appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Persatuan Persahabatan Malaysia-Myanmar bubar
0 Komentar untuk "Persatuan Persahabatan Malaysia-Myanmar bubar"