Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 3 Ramadan 1438H, Isnin – Satu laporan polis dibuat hari ini terhadap akhbar The Star ekoran menyiarkan gambar umat Islam sedang mengerjakan solat Tarawih pada muka depannya, dengan berita utama bertajuk ‘Malaysian terrorist leader’.
Laporan dibuat oleh dua aktivis Islam, Zaim Shaari dan Mohd Noor Azib Asmangi di Balai Polis Bandar Baru Bangi pada jam 9.20 pagi ini.
Laporan berkenaan adalah susulan daripada penyiaran muka depan akhbar itu, bertarikh 27 Mei 2017 yang tersebar luas di media sosial dan mendapat kritikan keras daripada semua pihak kerana menganggap The Star telah mengguris hati umat Islam.
Zaim Shaari berkata, penyiaran gambar dan tajuk muka hadapan akhbar berkenaan jelas sengaja untuk mencetuskan provokasi dan menggugat hubungan antara kaum dan agama di negara ini.
“Saya berpandangan bahawa akhbar itu sengaja melakukan sedemikian, dan berita ini boleh menggugat hubungan antara kaum serta agama di negara ini.
“Ia juga bertujuan menghina agama Islam yang bercanggah dengan Fasal 3 (1) Perlembagaan, memprovokasi sensitiviti dan kemarahan umat Islam di bulan Ramadan,” katanya kepada Ismaweb.
Katanya, meskipun akhbar itu sudah dikenakan tindakan susulan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), namun jelasnya laporan itu tetap diteruskan supaya kesilapan itu tidak berulang lagi.
“Saya mewakili aktivis Islam memohon semua pihak termasuk polis, peguam negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiasat perkara itu kerana ia bersifat hasutan.
“Saya juga menggesa pihak berwajib mengambil tindakan menarik lesen penerbitan The Star dan mendesak Pengarah Urusannya, Datuk Seri Wong Chun Wai meletak jawatan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Noor Azib mengutuk kebiadapan The Star yang berterusan mengulangi kesilapan mereka sebagaimana berlaku seperti Ramadan tahun lalu.
“Mereka dah tahu perkara sensitif umat Islam tetapi mereka lakukan dan sengaja seolah-olah meminta maaf dan sebagainya.
“Kita sangat mengutuk kebiadapan itu, dan mengharapkan tindakan sepatutnya diambil oleh pihak berwajib,” katanya.
The post Aktivis Islam buat laporan polis terhadap The Star appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Aktivis Islam buat laporan polis terhadap The Star
0 Komentar untuk "Aktivis Islam buat laporan polis terhadap The Star"