Gema Semua Maklumat

Aiman perlu lagi RM40,000, kalau tidak……..

Aiman perlu lagi RM40,000, kalau tidak……..

Oleh Siti Fatimah Ishak

KAJANG, 7 Ramadan 1438H, Jumaat – “Kalau boleh biar mama yang sakit. Mama sanggup gadaikan nyawa mama demi Aiman. Tapi semuanya kuasa Allah, mama kena reda”.

Demikian rintihan ibu muda, Intan Fatihah ketika menceritakan nasib anaknya Aiman atau nama sebenarnya, Muhammad Baqriee al-Zakir Muhammad Ayob berusia tujuh tahun yang menghidap penyakit jantung berlubang.

Bukan sekadar itu, Aiman turut diduga dengan masalah kesihatan lain iaitu usus kecil dan saluran darah tersumbat sehingga menyebabkan anak kecil itu kerap kali lemah dan sakit dada.

Ketika Ismaweb hadir ke rumah mereka baru-baru ini, Intan memberitahu pembedahan perlu dilakukan segera, tambahan pula kesihatan Aiman sejak akhir-akhir ini semakin merosot.

“Aiman kerap demam dan batuk. Kalau berjalan terlalu lama, Aiman cepat penat,” katanya.

Namun kata Intan, mereka perlu tunggu sehingga bulan Jun, ditambah pula wang untuk pembedahan belum cukup.

Sambil mengelap air matanya, Intan menambah, kos pembedahan yang diperlukan dianggarkan RM40,000 hingga RM50,000.

“Saya perlukan lagi RM40,000. Setakat ni saya tak terima apa-apa sumbangan. Saya harap sangat ada yang sudi bantu. Saya takut memikirkan nasib Aiman.

“Doktor pernah beritahu, kalau bulan Jun ni Aiman tak buat pembedahan, mungkin hayat usia Aiman tak lama, mungkin tak sampai pun 20 tahun.

“Allah.. sungguh. Hati ibu mana tak luluh bila tahu berita tu. Sekarang ni saya berdoa, moga ada keajaiban untuk Aiman,” kata Intan sebak.

Menceritakan keadaan Aiman, katanya, Aiman sakit jantung berlubang yang besarnya saiz syiling 10 sen.

“Sekarang ni badan Aiman makin susut. Apa yang saya boleh buat, saya ikhtiar bagi makanan tambahan seperti habatussauda dan air gamat serta minum susu khas. Itu yang termampu,” kata Intan.

Mengimbau kembali kisah sedihnya tujuh tahun lalu, Intan memberitahu, Aiman dilahirkan awal dua bulan dan dikesan menghidap penyakit jantung berlubang selepas seminggu dilahirkan berikutan degupan jantungnya tidak normal.

“Berat badannya hanya 1.1 kilogram ketika dilahirkan dan dimasukkan ke dalam inkubator selama tiga bulan. Itu satu tempoh getir dan saya tidak sanggup melihat keadaannya ketika dirawat dalam inkubator.

“Tapi saya bersyukur hingga saat ini, saya masih dapat menjaga Aiman, saya berharap anak dibedah supaya dia sembuh dan membesar seperti kanak-kanak seusia dengannya,” katanya.

Bagi yang ingin membantu, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 162898010073 atas nama Intan Fatihah Muda.

The post Aiman perlu lagi RM40,000, kalau tidak…….. appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Aiman perlu lagi RM40,000, kalau tidak……..
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Aiman perlu lagi RM40,000, kalau tidak…….."

Back To Top