BANGI, 10 Ramadan 1438H, Isnin – Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, hari ini menyatakan kesediaan untuk menghadapi tindakan undang-undang daripada Naib Presiden PAN, Dr Mujahid Yusof Rawa.
Tidak gentar dengan tindakan itu, Dr Kamarul berkata, baginya, ianya sangat penting kerana ia melambangkan tahap hipokrasi pemimpin parti sepihan PAS itu.
“Bila Dr Mujahid memilih mahkamah sebagai forum untuk berwacana dengan saya, maka kita jumpa sajalah di mahkamah. Tiada sekelumit pun rasa takut di dalam hati saya untuk berhadapan dengan beliau di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau membuat kenyataan demikian susulan penerimaan notis tuntutan dari peguam bela Dr Mujahid iaitu Awi & Co, sebuah syarikat guaman milik Pengerusi PAN Perak, Asmuni Awi.
“Notis tuntutan ini menyebut bahawa artikel Facebook saya bertajuk “Dr Mujahid Antara Kuda Tunggangan Terbaik DAP” mengandungi beberapa kenyataan berunsur fitnah, iaitu:
“Saya waktu itu cukup terkejut bagaimana peruntukan-peruntukan yang mengiktiraf ketidakpercayaan agama serta mengiktiraf orientasi dan identiti seks songsang ini boleh wujud di dalam Rang Undang-Undang yang dirangka oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Dr Mujahid, yang waktu itu merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.”
“Bagaimanapun, setelah ini berlaku, tambahan pula setelah Dr Mujahid sendiri bertindak keluar dari PAS bersama-sama rakan-rakan sefikrah beliau untuk menubuhkan parti baru bernama AMANAH yang menunjukkan keintiman luar biasa pula dengan parti sekular tegar, DAP, maka tidaklah pelik bila beliau memerli saya mengenai buku Hannah ini.”
“Bila cadangan mengharamkan parti politik yang berasaskan kaum dan agama yang pernah diutarakan oleh Karpal Singh ini diutarakan semula oleh Dr Mujahid maka terbuktilah bahawa Dr Mujahid, dan seterusnya AMANAH, adalah antara kuda tunggangan terbaik DAP.” petik notis tuntutan tersebut berdasarkan artikel Dr Kamarul.
Selain itu, beliau berkata, notis tuntutan ini juga menyebut bahawa artikelnya telah mengakibatkan reputasi, karier dan nama baik Dr Mujahid telah tercemar.
Malah, Dr Kamarul berkata, beliau diarahkan oleh Dr Mujahid supaya membuat permohonan maaf tidak bersyarat kepadanya dalam tempoh tujuh hari dari notis ini.
Namun, sekiranya Dr Kamarul gagal membuat permohonan maaf tidak bersyarat ini, peguam bela beliau tidak akan teragak-agak untuk meneruskan prosiding undang-undang tanpa merujuk kepada saya semula.
“Sebagai maklum balas, sukalah saya tegaskan kepada Dr Mujahid bahawa saya tidak sama sekali akan membuat sebarang permohonan maaf kepada beliau.
“Sebaliknya, saya tegas berpendirian bahawa apa yang saya nyatakan dalam artikel Facebook saya ini adalah tidak mengandungi sebarang fitnah,” tegasnya.
The post Kuda tunggangan DAP: Dr Kamarul sedia jumpa Mujahid di mahkamah appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kuda tunggangan DAP: Dr Kamarul sedia jumpa Mujahid di mahkamah
0 Komentar untuk "Kuda tunggangan DAP: Dr Kamarul sedia jumpa Mujahid di mahkamah"