ALEXANDRIA, 8 Ramadan 1438H, Sabtu – Pihak berkuasa Mesir terpaksa memindahkan penghuni di sebuah bangunan 13 tingkat di timur Alexandria awal pagi Rabu lalu, kerana dikhuatiri tumbang ekoran strukturnya senget ke arah bangunan bertentangan.
Kakitangan perlindungan awam yang bergegas ke tempat kejadian di bangunan yang baru dibina di Azarita itu segera memotong bekalan elektrik di tempat berkenaan dan memindahkan penghuninya.
Pihak berkuasa juga turut mengawasi kawasan di sekitar bangunan itu sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya runtuhan berlaku.
Gabenor Alexandria, Mohamed Sultan berkata, pihaknya mengarahkan semua bangunan bersebelahan supaya dipindahkan. Malah beliau turut mengarahkan supaya kerja-kerja landasan trem di kawasan berhampiran dihentikan bagi mengelakkan getaran yang menyebabkan keretakan pada bangunan terbabit.
Katanya, pihaknya juga mengambil inisiatif untuk menyediakan rumah kecemasan kepada penghuni yang dipindahkan dan menggesa Kementerian Perpaduan Masyarakat memenuhi keperluan mangsa.
Beliau berkata, siasatan telah dimulakan bagi mengenal pasti punca kejadian dan menegaskan bahawa pelaku dan pihak bertanggungjawab segera dikenakan tindakan undang-undang.
Sultan berkata, beliau segera membentuk satu jawatankuasa terdiri daripada wakil Pusat Pengajian Kejuruteraan, Angkatan Tentera dan Syarikat Kontraktor Arab untuk membincangkan penyelesaian berhubung insiden itu.- Agensi
The post Mesir pindah penghuni bangunan 13 tingkat hampir runtuh appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Mesir pindah penghuni bangunan 13 tingkat hampir runtuh
0 Komentar untuk "Mesir pindah penghuni bangunan 13 tingkat hampir runtuh"