LONDON, 8 Ramadan 1438H, Sabtu – Seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang mabuk teruk dan mengecam pramugari sebagai ‘Malaysian pig’ selepas permintaannya mendapatkan arak ditolak, terpaksa diikat di tempat duduk menggunakan kabel dan pita perekat.
Kejadian berlaku Januari lalu ketika pesawat dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang ke Heathrow, London.
Maxine Williams, 57, dituduh menjerit kepada Teoh Ming Lee, 36, dengan berkata ‘I hate your f****** country’ selepas meminum arak selama 10 jam, dibicarakan di Mahkamah Majistret Willesden, di barat laut London.
Dalam keadaan terhuyung-hayang dia juga memasuki kelas pertama untuk mencari arak.
Pada ketinggian 30,000 kaki dari paras laut, kapten pesawat mengarahkan dia diikat di tempat duduk dan wanita itu mengeluarkan kata-kata kesat berunsur perkauman serta menendang Lee.
Mahkamah diberitahu, Williams yang bertugas sebagai penyambut tetamu sebuah hospital di Fulham di barat London, jatuh ke atas penumpang lain ketika mahu kembali ke tempat duduknya.
Marah dengan anak-anak kapal yang enggan melayan permintaannya, dia menendang bekas makanan menyebabkan air tersimbah ke atas penumpang lain.
Tindakan itu menyebabkan kanak-kanak menangis dan satu keluarga berpindah ke tempat duduk lain.
Pendakwa berkata, Williams berada di luar kawalan dan dia terpaksa dihalang.
Lee yang sebak ketika perbicaraan memberitahu bagaimana dia berasa ‘terhina’ dengan kecaman wanita terbabit.
Katanya, pada mula pesawat berlepas semuanya berjalan lancar sehingga selepas 10 jam apabila dia kembali daripada rehat, William menjadi terlalu sukar dikawal dan mula menyumpah seranah.
Williams disabitkan atas tuduhan, termasuk serangan dan mabuk dalam pesawat.
Majistret Neehal Patel kemudian menyerahkan kes itu kepada Mahkamah Tinggi untuk menjatuhkan hukuman. – Agensi
The post Penumpang pesawat MAS mabuk arak diikat di tempat duduk appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Penumpang pesawat MAS mabuk arak diikat di tempat duduk
0 Komentar untuk "Penumpang pesawat MAS mabuk arak diikat di tempat duduk"