MELAKA, 18 Syawal 1438H, Rabu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekod keterangan lima individu berhubung kes penyelewengan RM4 juta membabitkan dua beranak yang juga pegawai kanan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC).
Lima individu terbabit termasuklah pegawai Unit Perancang Ekonomi Melaka (UPEN) dan ahli Lembaga Pengarah MISDEC.
MISDEC adalah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 1994 untuk menyediakan latihan kemahiran kepada belia dan berpusat di Kawasan Perindustrian Batu Berendam, Melaka.
SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan memanggil lebih ramai individu untuk memberi keterangan berhubung kes terbabit.
“SPRM juga menyiasat sama ada terdapat individu lain yang bersubahat dengan kedua-dua suspek dalam menggelapkan dana bertujuan menjalankan latihan kemahiran,” kata kenyataan itu.
MISDEC menerima dana sebanyak RM19 juta daripada 2012 hingga 2016 daripada Kementerian Sumber Manusia dan kerajaan negeri.
Bagaimanapun, pihak pengurusan MISDEC dilaporkan gagal mengemukakan minit mesyuarat selama lapan tahun yang lalu kepada Pendaftar Pertubuhan.
Sebelum ini, Mahkamah Majistret Ayer Keroh mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari terhadap bekas Pengurus Eksekutif serta Pengurus Unit Pentadbiran dan Kewangan MISDEC berusia antara 76 tahun dan 43 tahun.
Dua beranak terbabit dilaporkan ditahan semalam dalam satu operasi yang dilancarkan SPRM Melaka selepas disyaki menyalah guna kuasa meluluskan pemindahan wang milik MISDEC ke akaun peribadi antara 2014 hingga 2015.
SPRM menyita hampir RM600,000 dalam sebuah akaun syarikat dan merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda serta perkakasan syarikat bernilai RM350,000.
Berdasarkan siasatan awal SPRM mendapati wang berkenaan dipindahkan ke akaun syarikat milik dua beranak itu melalui beberapa keping cek.
The post Seleweng RM4 juta: SPRM rekod kenyataan lima individu appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Seleweng RM4 juta: SPRM rekod kenyataan lima individu
0 Komentar untuk "Seleweng RM4 juta: SPRM rekod kenyataan lima individu"