SEREMBAN, 23 Zulkaedah 1438H, Rabu – Pengajian dunia Melayu hendaklah diperhebat demi kesinambungan tamadun warisan bangsa itu sendiri, kata Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim.
Beliau berkata, generasi muda hari ini hendaklah mencari jalan bagaimana Melayu terus ‘diselamatkan’ dan memulihara warisan yang boleh dibanggakan.
“Pengajian Melayu, tamadun Melayu dan pengajian Islam mesti diperhebatkan lagi, jangan dikuncupkan pengajian ini sebab asal-usul kita mesti kita kaji dan kita hargai. Bagaimanapun, ini memerlukan daya siasah dan perjuangan yang kuat,” katanya merasmikan Wacana Naskhah Sastera Tradisional Negeri Sembilan anjuran Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini hari ini.
Katanya, pengkaji sejarah Melayu di universiti juga harus memainkan peranan untuk terus membuat kajian dan penyelidikan dan lebih ramai orang Melayu muncul untuk menulis, mencatat dan juga menyumbang tenaga fikiran untuk bangsanya.
Mencadangkan kewujudan institut adat Melayu di negeri ini, Rais berkata, DBP sentiasa berusaha mengetengahkan hasil kajian dan dapatan baharu dalam pelbagai bidang ilmu dan pemikiran yang dihasilkan oleh karyawan dahulu.
Katanya, DBP membuka ruang kepada para cendekiawan pelbagai disiplin ilmu untuk bersama-sama mengemukakan buah fikiran dan bentuk kerjasama kepakaran yang sesuai dalam bidang masing-masing bagi merangka program penyelidikan dan penulisan yang dapat memperkaya khazanah persuaratan ilmu dan sastera tanah air.
Wacana itu bertujuan menghasilkan kajian dan dapatan pelbagai bidang ilmu dan pemikiran seperti ilmu agama, sejarah, sastera dan budaya yang dihasilkan oleh karyawan silam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata, naskhah Melayu lama merupakan sebahagian daripada karya agung Melayu yang sangat bernilai dalam pelbagai bidang ilmu dan naskhah itu perlu difahami, dikaji, diamalkan dan diperturunkan untuk generasi masa kini.
“Ilmu yang terkandung di dalamnya seharusnya dipugar dan dimanfaatkan demi memperkasakan tamadun Melayu sesuai dengan keperluan masa kini dan akan datang. Hasil kajian yang berwibawa terhadap naskhah ini diharap dapat memperkaya khazanah ilmu tersedia sebagai bahan rujukan persuratan Melayu.
“Pendekatan terkini yang ditekankan dalam bidang penyelidikan naskhah adalah dengan meneliti kepentingan naskhah tersebut daripada aspek persejarahan, keintelektualan, kebudayaan dan epistemologi Melayu,” katanya. – Bernama
The post ‘Cari jalan selamatkan Melayu’ appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di ‘Cari jalan selamatkan Melayu’
0 Komentar untuk "‘Cari jalan selamatkan Melayu’"