KUCHING, 17 Zulkaedah 1438H, Khamis – Majlis Islam Sarawak (MIS) hari ini menyerahkan pengurusan tiga taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan 12 taman asuhan kanak-kanak (taska) masjid kelolaannya kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam usaha memantapkan pendidikan prasekolah di masjid.
Penyerahan itu dilakukan menerusi memorandum perjanjian yang dimeterai oleh Yang Dipertua MIS, Datuk Misnu Taha dan Ketua Pengarah Kemas, Datuk Amiruddin Ariffin, disaksikan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Nanta berkata, penyerahan hari ini merupakan sebahagian daripada 32 tabika dan taska MIS yang dirancang diserahkan kepada Kemas secara berperingkat.
“Pengambilalihan ini turut menyaksikan semua guru dan pembantu di tabika serta taska berkenaan diserap oleh Kemas dengan segala kos operasi termasuk gaji ditanggung oleh Kemas,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata pengambilalihan itu hanya melibatkan operasi dan pengurusan manakala aset tabika dan taska terbabit kekal menjadi milik MIS.
Nanta berkata susulan pengambilalihan itu, tabika dan taska terbabit akan dikenali sebagai Tabika Kemas Masjid dan Taska Permata Kemas Masjid. – Bernama
The post Kemas ambil alih taska, tabika Islam Sarawak appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kemas ambil alih taska, tabika Islam Sarawak
0 Komentar untuk "Kemas ambil alih taska, tabika Islam Sarawak"