KUALA LUMPUR, 28 Zulkaedah 1438H, Isnin – Permohonan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan seorang kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf dibinkan dengan nama bapanya mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan, hari ini.
Keputusan itu diputuskan tiga panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif.
Menurut laporan, penangguhan berkenaan bermula hari ini sehingga mahkamah tertinggi mendengar permohonan rayuan JPN dan ketua pengarahnya dan jika kebenaran diberikan sehingga pelupusan kes di Mahkamah Persekutuan.
Permohonan untuk penangguhan dibuat oleh peguam kanan persekutuan Ahmad Teriruddin Mohd Said bagi pihak Jabatan Peguam Negara.
Pendengaran untuk permohonan penangguhan JPN dijadualkan pada 8 September.
Pada masa yang sama, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dibenarkan untuk mencelah dalam kes itu.
Bagaimanapun, mahkamah tertinggi menolak permohonan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk turut campur tangan.
Dalam penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan yang dikeluarkan pada 25 Julai tahun ini, Abdul Rahman berkata Ketua Pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa seseorang kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf.
Pada 25 Mei tahun ini, panel sama membenarkan rayuan dikemukakan pasangan itu, yang memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi memastikan Ketua Pengarah JPN menukar perkataan “Abdullah” sebagai bin untuk nama kanak-kanak itu kepada nama bapanya dalam sijil kelahiran kanak-kanak berkenaan.
Dalam penghakiman itu, Abdul Rahman berkata bidang kuasa ketua pengarah berkenaan adalah bersifat sivil dan hanya terhad kepada dalam menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak itu telah memenuhi syarat yang terkandung dalam Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) yang meliputi semua kanak-kanak tidak sah taraf melibatkan orang Islam dan bukan Islam.
Beliau berkata fatwa bukan perkara yang wajib diterima oleh undang-undang dan tidak boleh dijadikan asas undang-undang oleh Ketua Pengarah JPN dalam menentukan nama bapa seseorang anak yang tidak sah taraf mengikut Seksyen 13A (2) BDRA.
The post Mahkamah Persekutuan benarkan penangguhan JPN kes ‘bin Abdullah’ appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Mahkamah Persekutuan benarkan penangguhan JPN kes ‘bin Abdullah’

0 Komentar untuk "Mahkamah Persekutuan benarkan penangguhan JPN kes ‘bin Abdullah’"