BANGI, 1 Zulhijjah 1438H, Rabu – Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bimbang, sebaliknya mengalu-alukan rancangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan peristiwa Memali yang berlaku lebih 30 tahun lalu.
Menyindir kerajaan tidak menubuhkan RCI berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun itu berkata, beliau mempunyai banyak bukti, laporan dan cerita berkenaannya, termasuk termasuk individu yang terbabit secara langsung dan tidak langsung.
“RCI boleh buat keputusan sebelum RCI bersidang dan Kerajaan boleh mendapat untung kerananya. Ini tentulah menjadi Terms of Reference (TOR) di zaman ini.
“Untuk memulakan siasatan RCI Memali saya siar di sini “Amanat Haji Hadi”. Dianya ada kaitan rapat dengan peristiwa Memali. Amanat ini menggalakkan perjuangan lawan Kerajaan sebagai jihad dan kematian pejuang adalah syahid,” katanya menulis dalam blog beliau, hari ini.
Beliau turut menyiarkan poster amanat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ketika itu menjadi Pesuruhjaya PAS Terengganu dahulu.
“Pada 19hb November 1985, jam 11 pagi, pasukan polis diserang hendap (oleh orang dekat rumah Ibrahim Libya) dan seorang Inspektor dan seorang Sarjan polis dibunuh, seorang lagi Konstabel cedera parah. (Dari ucapan Pemangku Perdana Menteri di Parlimen pada 20 November 1985). Apa yang jelas dalam kejadian itu ialah anggota polis yang terbunuh terlebih dahulu,” katanya.
Secara sinis beliau berkata, sekarang ini adalah musim penubuhan RCI yang hendak menjalankan pelbagai siasatan, tetapi kerajaan tidak perlu menubuhkan RCI 1MDB atau duit RM2.6 bilion dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Katanya kerajaan juta tidak perlu menubuhkan RCI menyiasat duit KWAP yang lesap, hutang berbilion ringgit yang tidak dapat dibayar, pembelian stesen jana elektrik dengan harga yang lebih mahal daripada nilai pasaran dan dijual dengan harga murah sehingga rugi berpuluh juta, pengeluaran filem lucah Wolf of Wall Street, pembelian harta di United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS) menggunakan wang 1MDB sebagaimana dikatakan oleh Jabatan Keadilan (DoJ) AS.
“Ini semua bukan jenayah. Pembelian berlian merah jambu untuk isteri dengan harga 120 milion ringgit hanyalah kerana sayang isteri. Salahkah sayang isteri. Demikianlah sayangnya isteri sehingga sanggup curi untuk menunjuk kesayangan yang tidak terhingga ini.
“Ya. RCI tidak perlu untuk semua ini. Bukankah A.G telah sahkan ia semua halal,” katanya.
Namun, kata Dr Mahathir, banyak perkara yang telah selesai 30 tahun lalu perlu disiasat oleh RCI.
“Pembinaan Menara Berkembar, Putrajaya, Cyberjaya, Lebuhraya PLUS, KLIA, Westport, dan lain-lain. Semua ini perlu disiasat dengan diketuai oleh tokoh keadilan terkenal berslogan “Just do it”. Buat sahaja apa yang disuruh. Jangan soal,” katanya.
The post RCI Memali: Tun M mulakan langkah dengan siar Amanat Haji Hadi appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di RCI Memali: Tun M mulakan langkah dengan siar Amanat Haji Hadi
0 Komentar untuk "RCI Memali: Tun M mulakan langkah dengan siar Amanat Haji Hadi"