Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 15 Zulhijjah 1438H, Rabu – Parti rasis dan cauvinis, DAP diingatkan supaya berhenti daripada meneruskan lakonan kononnya menyokong prinsip Islam dalam Perlembagaan sebagaimana yang didakwa oleh penasihatnya, Lim Kit Siang baru-baru ini.
Kit Siang dalam satu laporan media sebelum ini mendakwa kononnya dia tidak anti-Islam atau anti-Melayu seperti dituduh pemimpin UMNO selama ini.
“Saya tidak pernah anti-Melayu atau anti-Islam kerana ia tidak masuk akal untuk menjadi anti-Melayu atau anti-Islam jika seseorang mahu menjadi rakyat Malaysia.
“Kami mahu semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama, untuk menganggap diri mereka yang pertama sebagai rakyat Malaysia dan kedudukan agama atau sosio-ekonomi di tempat kedua,” kata Kit Siang.
Menempelak dakwaan Kit Siang itu, Ketua Penerangan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali mempersoalkan kenapa DAP menentang dan mempertikaikan pelbagai usaha berkaitan Islam terutamanya membabitkan Rang Undang-Undang Akta 355 (RUU355).
“Kalau benar begitu, kenapa DAP menentang sekeras-kerasnya pengislaman anak bawah umur 18 tahun oleh salah seorang ibu atau bapa yang memeluk Islam yang telah ditetapkan dalam perlembagaan dan selaras dengan fatwa-fatwa peringkat kebangsaan dan fatwa negeri? Tidakkah ia merupakan peruntukan dalam perlembagaan yang selaras dengan Islam?
“Ketika pindaan Akta 164 berlangsung di Dewan Rakyat lalu sangat ketara, yang dipertikaikan oleh ahli-ahli Parlimen DAP ialah kenapa tidak dimasukkan cadangan pindaan 88 (a) yang membolehkan agama anak ditentukan secara bersama oleh ibu dan bapa sedangkan mereka tahu cadangan pindaan itu bercanggah dengan perlembagaan dan bercanggah dengan Islam?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru katanya, DAP tidak perlu lagi untuk berlakon untuk menyokong Islam, kerana perjuangan parti berkenaan jelas mahukan Malaysia menjadi negara sekular, yang pastinya bercanggah dengan prinsip Islam dalam pemerintahan.
Malah Dr Khairuddin berkata, penentangan DAP terhadap Islam jelas sejak 2015 lagi berkaitan usaha PAS menegakkan undang-undang jenayah Islam di Kelantan.
“Usaha memperkasakan RUU 355 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah yang hanya melibatkan orang Islam juga ditentang keras oleh DAP.
“Para pengundi Islam tidak perlu terpedaya dengan kata-kata manis DAP bagi memenangi PRU ke 14. Kegagalan Umno/BN menguruskan negara secara berhemah berasaskan prinsip Islam telah menjadi modal DAP untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Namun, percayalah Islam tidak akan selamat di bawah pemerintahan DAP,” katanya.
The post Berhenti berlakon sokong Islam, kata PAS kepada DAP appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Berhenti berlakon sokong Islam, kata PAS kepada DAP
0 Komentar untuk "Berhenti berlakon sokong Islam, kata PAS kepada DAP"