BANGI, 15 Zulhijjah 1438H, Rabu – Cukai jualan perlu dilaksanakan semula sekiranya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bercakap dalam satu wawancara bersama sebuah portal berita, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, pelaksanaan semula cukai jualan adalah perlu untuk meminimumkan impak akibat penurunan pendapatan daripada GST ke atas kewangan kerajaan.
“GST menggantikan cukai jualan, jadi jika kita memansuhkan GST kita mesti laksanakan semula cukai jualan.
“Semua proses kerajaan perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat. Sekiranya kamu tiba-tiba memansuhkan GST, dan kamu tidak mempunyai sumber pendapatan, ini adalah buruk bagi kerajaan,” katanya, hari ini.
Bagaimanapun beliau berkata, cukai jualan itu boleh diimbangkan dengan cara yang tidak membebankan mana-mana pihak sama ada rakyat mahupun kerajaan.
Tun Mahathir berkata demikian sebagai menjawab soalan berhubung janji Pakatan Harapan untuk menghapuskan GST sekiranya mereka memenangi pilihan raya umum akan datang.
Perkara itu kerap kali dilaung gabungan pembangkang yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan GST kerajaan dipimpin Datuk Seri Najib Razak.
GST telah berkuatkuasa sejak 1 April 2015, dan masih kekal dengan kadar sebanyak 6 peratus sejak ia dilaksanakan.
The post Cukai jualan mesti dilaksana semula jika mansuh GST, kata Tun M appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Cukai jualan mesti dilaksana semula jika mansuh GST, kata Tun M
0 Komentar untuk "Cukai jualan mesti dilaksana semula jika mansuh GST, kata Tun M"