Gema Semua Maklumat

Kata Pedang: Astagfirullahaladzim… kamu memang jahil murakkab

Kata Pedang: Astagfirullahaladzim… kamu memang jahil murakkab


“BAGAIMANA sekarang?,” kata seorang rakan seperti menyindir Pedang, ketika kami berbual mengenai isu kedai dobi khusus untuk orang Islam, yang Pedang sokong sangat diperbanyakkan demi menjaga kebersihan dan kesucian.

Beliau bertanya demikian berikutan laporan yang mengatakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, mengarahkan kedai dobi berkenaan ditutup atau menurunkan papan tanda berkenaan dan membukanya kepada umum, bukan umat Islam sahaja.

Pedang jawab, pemilik kedai dobi berkenaan sudah memohon maaf secara terbuka. Sultan sebagai ketua agama Islam negeri sudah beri penjelasan. Habis cerita.

Rakan Pedang itu memang tak lepas daripada membaca kolum Kata Pedang, dan soalan beliau itu dikaitkan dengan tulisan Pedang pada 3 Muharram yang lalu, yang bertajuk ‘Jom ke kedai dobi khas untuk orang Islam’.

BACA: Jom ke kedai dobi khas untuk orang Islam

Ya! Memang dalam tulisan itu Pedang bersyukur kerana ada umat Islam yang sanggup mengambil risiko sedemikian. Malah, Pedang ucap tahniah dan selamat maju jaya kepada pemilik kedai dobi layan diri di Muar, Johor kerana polisinya yang mengkhususkan kepada pelanggan Islam sahaja.

Apa yang dilakukannya kerana agama Islam dan semoga Allah memberi ganjaran kepadanya. Pedang juga menggalakkan pengusaha kedai dobi beragama Islam yang lain mencontohi langkah itu, demi Islam.

Kalau di Johor tak boleh, mungkin ada pengusaha kedai dobi Islam di negeri-negeri lain atau di Kuala Lumpur, boleh mengkhususkan pelanggan mereka kepada umat Islam sahaja. Pedang pun kalau boleh nak buka kedai dobi seperti itu di Selangor, KL, Kedah atau Perak.

Pedang seringkali mengingatkan umat Islam mengenai kewajipan membantu sesama Islam. Dalam membeli keperluan harian pun Pedang selalu nasihatkan, kalau boleh belilah di kedai orang Islam kerana sekurang-kurangnya keuntungan perniagaannya dikeluarkan zakat atau disedekah untuk masjid. Ada pahala tersembunyi di situ.

Tapi kalau beli di kedai orang yang menyembah batu, kayu atau besi, keuntungannya itu sedikit sebanyak akan disalurkan untuk agamanya. Ada tak pahala tersembunyi untuk kita? Kerana keuntungan daripada pembelian kita, maka dia boleh memperbesarkan batu atau kayu atau besi yang disembahnya.

Begitu juga dalam bab makanan, kena makan yang halal lagi toyyiban, bukan halal sahaja. Orang Islam dan juga kafir perlu tahu Islam adalah agama yang syumul, meliputi segala aspek kehidupan, daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah pentadbiran negara. Agama Islam menentukan hukum, undang-undang dan peraturan berkaitan kehidupan manusia.

“Jadi tak bolehlah orang Islam makan di hotel atau restoran, kerana mungkin pinggan yang digunakan itu pernah digunakan untuk meletak makanan haram?,” tanya rakan Pedang yang memang jahil.

Pedang tanya dia: “Biasa dengar cerita AJK Masjid Plentong di Johor bantu sertu lebih kurang 500 troli sebuah pasar raya gara-gara seorang pelanggan meletak seekor anjing di atasnya, yang kemudian kencing pula?”.

Tanpa menunggu jawapannya, Pedang tanya lagi: “Kenapa kena sertu pula? Sebab memang nampak terang-terang, anjing atas troli dan kencing? Kalau tak nampak dan tak ditularkan, bagaimana?”.

Tawakal lah kita. Pedang jawab: “Makanlah di kedai yang terjamin kebersihannya, yang tidak menjual bersamanya makanan yang haram”. Atau, makan di rumah. Ibu masak, isteri masak, anak-anak masak, lagi bagus.

Halal bukan sahaja pada makanan, tetapi juga pakaian, budaya, adat, dan kepercayaan muamalat sama ada hubungan sesama Islam atau bukan Islam, hiburan, kekeluargaan, perkahwinan dan pekerjaan.

Pedang awal-awal lagi sudah buat pendirian, Pedang tak halalkan wang yang Pedang bayar sebagai cukai, kemudian digunakan oleh kerajaan apa sekalipun dan diperuntukkan bagi memperbesarkan bongkah batu, kayu atau besi.

Macam Pedang kata sebelum ini, bukan kita hendak menindas penganut agama lain. Masih banyak lagi kedai runcit atau kedai dobi untuk mereka.

Ada orang jahil kata kita kena berjabat tangan, bersentuh kulit dengan bukan mahram, semata-mata untuk menjaga adat budaya, tata susila sebagai rakyat Malaysia yang bersopan santun, beradab, dengan meninggalkan larangan agama paling suci Islam.

Kenapa mereka berkata demikian. Sebab mereka jahil agama. Jahil murakkab. Bercakap ikut akal bukan hukum yang ditetapkan. Mereka menggunakan akal untuk menolak sesuatu hukum. Mengambil al-Quran dan menolak hadis atau kadang-kala membuat tafsiran al-Quran dan hadis ikut suka hati.

Yang diminta supaya beradab, bersopan santun, bertata susila ialah orang Melayu dan Islam. Kaum lain yang kafir ada adab ke?

Lalu, benarlah apa yang disebutkan oleh Ibn ‘Abbas ra. Orang Arab jahiliah menggunakan akal mereka yang cetek untuk membuat pembahagian perkara-perkara halal dan haram secara yang bodoh tanpa bersandarkan kepada ilmu pengetahuan dan kesaksamaan.

Allah Taala telah menetapkan bahawa ada orang kafir yang tidak dapat dihalang daripada menyebutkan perkataan-perkataan kufur. Begitu juga adanya ahli bidaah yang melakukan perubahan terhadap agama.

Pedang pun bukan habis lagi belajar agama. Islam ini, lagi kita belajar lagi banyak yang perlu dipelajari. Semakin banyak dipelajari semakin seronok untuk kita menjelajah lagi. Macam belajar baca Quran.

Tak mengapa kita baca dahulu, kemudian belajar pula makna ayat-ayat al-Quran, tafsirnya dan sebab-sebab turunnya sesuatu ayat dan lain-lain lagi. Dari situ, baru kita tahu kenapa ulama kata ayat ini ayat perintah, ayat itu ayat sumpah dan lain-lain.

Pedang mengingatkan kepada semua muslimin dan muslimat, terutama keluarga Pedang, jangan sesekali bersalaman dengan bukan mahram. Apabila hukum menetapkan haram, maka haramlah ia dan berdosa jika dilakukan. Tak kira dosa tu banyak atau sedikit.

Lagipun, sesuatu perbuatan haram yang lebih besar boleh berlaku dengan memulakan yang kecil. Kalau keluarga kita salam dengan bukan mahram, bukan dia sahaja yang berdosa, sekali dengan kita berdosa. Hatta, kalau Perdana Menteri atau menteri menghulur tangan untuk bersalam, kalau bukan mahram, haram.

Begitu juga dalam bab pakaian. Tanggunglah akibatnya jika suami membiarkan isterinya berpakaian mencolok mata. Berpakaian tetapi telanjang. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda:

Ada dua golongan ahli neraka yang belumku lihat sekarang, iaitu kaum yang membawa cemeti seperti ekor sapi untuk memukul manusia dan wanita yang berpakaian tetapi telanjang yang berlenggang-lenggok dan miring rambutnya seperti kelasa unta yang miring. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya padahal bau syurga itu dapat tercium dari perjalanan sejauh ini dan ini.” (Riwayat Muslim)

Umat Islam sekarang, selain berdepan peluru dan bom, terpaksa juga menentang ideologi liberal dan kejahilan. Mereka menggunakan pelbagai medium, terutama media, untuk mencambahkan idea songsang. Mereka ‘Islam’, tetapi seperti Pedang kata tadi, mereka juga jahil.

Tambahan pula, macam Pedang kata, media-media liberal suka mengambil peluang isu-isu begini bagi menonjolkan umat Islam sebagai ekstrem dan mendiskriminasi orang bukan Islam, sedangkan umat Islam hanya mahu mengamalkan ajaran Islam sebenar, iaitu menjaga kesucian yang dituntut agama.

Macam Pedang kata sebelum ini, dalam permasalahan fiqh, isu sebegini perlu ditangani sebaiknya. Islam itu mudah dan tidak menyusahkan umatnya. Tapi yang haram, tetap berdosa.

Dan, si kafir yang tahu sepatah dua mengenai Islam pun sudah galak buat komen dalam media liberal mempersoalkan Islam dan hukum-hakamnya.

Rakan Pedang tanya lagi: “Habis tu udara yang kita hirup, kita bernafas ni kan sudah bercampur dengan wap-wap daripada najis dan nafas anjing, babi. Air yang kita guna sekarang pun meresap semula ke dalam bumi dan bercampur dengan najis-najis… jadi kita kena pindah ke planet lain lah, yang khas untuk orang Islam?”.

Kata Pedang: Astagfirullahaladzim… kamu ini memang jahil murakkab. Tidak ada daya untuk menghindarkan diri daripada maksiat selain dengan perlindungan daripada Allah. Tidak ada kekuatan untuk melaksanakan ketaatan selain dengan pertolongan Allah.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

The post Kata Pedang: Astagfirullahaladzim… kamu memang jahil murakkab appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kata Pedang: Astagfirullahaladzim… kamu memang jahil murakkab
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Kata Pedang: Astagfirullahaladzim… kamu memang jahil murakkab"

Back To Top