Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 7 Muharram 1439H, Khamis – Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) menyambut baik cadangan pihak Kementerian Pendidikan untuk memberi semula kuasa merotan kepada guru.
Pun begitu, Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hassan berkata, kebenaran merotan bukan untuk tujuan penderaan tetapi lebih kepada mendidik daripada menghukum.
Beliau berkata, kewajaran merotan kepada guru adalah untuk memastikan para pelajar berdisiplin, patuh peraturan serta menimbulkan rasa gerun untuk melakukan kesalahan.
“Anak-anak generasi sekolah dahulu lebih berdisiplin dan hormat pada guru akibat takutkan rotan. Berbeza dengan generasi pelajar hari ini yang bersikap kurang ajar atau biadab terhadap para guru dan suka melanggar peraturan sekolah.
“Dalam agama pun dibenarkan merotan bagi anak-anak yang tidak bersolat seusia 10 tahun,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Namun, tegasnya, perlu ada tatacara merotan agar para guru tidak sewenang-wenangnya merotan yang boleh membawa kemudaratan.
“Merotan hanya satu cara untuk membendung masalah disiplin pelajar. Namun apa yang lebih penting ialah proses ta’dib dan ta’lim kepada para pelajar,” katanya.
Semalam, Kementerian Pendidikan dilaporkan sedang meneliti untuk memberi semula kuasa merotan kepada semua guru dalam usaha menangani masalah sosial pelajar dan murid.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perbincangan lanjut perlu dilakukan kerana terdapat beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan segelintir masyarakat yang mahu guru-guru menggunakan kaedah selain rotan bagi mendidik pelajar.
The post Rotan bukan untuk menghukum, tetapi mendidik: iGuru appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Rotan bukan untuk menghukum, tetapi mendidik: iGuru
0 Komentar untuk "Rotan bukan untuk menghukum, tetapi mendidik: iGuru"