Gema Semua Maklumat

Laporan dedah kekejaman Myanmar bukan hanya pada Rohingya

Laporan dedah kekejaman Myanmar bukan hanya pada Rohingya

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin dan Che Siti Rekembang Hasbi

KUALA LUMPUR, 5 Muharram 1439H, Selasa – Rangkaian Hak Asasi Manusia Burma (BHRN) mendedahkan, etnik minoriti Rohingya di Myanmar bukan satu-satunya mangsa penganiayaan kerajaan itu, tetapi juga orang Islam daripada etnik yang lain.

Pengarah Eksekutif BHRN, Kyaw Win berkata, pihaknya telah membuat kajian berdasarkan 350 temu bual di 46 lokasi yang mana melibatkan 32 perkampungan dan beberapa kem di Rakhine.

Berdasarkan laporan itu, didapati bahawa Kerajaan Myanmar telah menafikan hak kebebasan agama bagi penduduknya dan hanya agama Buddha layak dipraktiskan di negara itu.

Malah, Kyaw Win berkata, hanya mereka yang beragama Buddha sahaja yang layak diberi kerakyatan.

“Sejak dua dekad yang lalu, keadaan menjadi lebih sukar bagi umat Islam untuk memohon kad pendaftaran negara (NRC). Pihak berkuasa imigresen telah didapati, sama ada menolak kad NRC untuk orang Islam, atau menuntut supaya tidak ada seorang Muslim memohon sebagai rakyat Burma tulen.

“Sebaliknya, mereka yang beragama Islam ini mesti mengisi ruangan ‘kebangsaan’ pada kad mereka dengan menulis nama mana-mana negara di mana bilangan umat Islamnya ramai, seperti India, Bangladesh atau Pakistan. Ini adalah kerana persepsi mereka bahawa umat Islam tidak boleh berasal dari negara yang majoritinya menganut agama Buddha,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Penganiayaan Terhadap Muslim di Burma, di sini, hari ini.

Tidak hanya dengan itu, kerajaan yang kejam ini juga mengharamkan 21 buah kampung Myanmar daripada dijejaki oleh umat Islam di sana.

Pihak berkuasa juga turut menghalang sebarang premis keagamaan selain daripada agama Buddha untuk dibina di mana-mana kawasan di Myanmar.

“Semasa keganasan antara umat Islam dan ekstremis Buddha selepas tahun 2012, sejumlah besar masjid di seluruh negara telah rosak atau dimusnahkan sepenuhnya. Banyak laporan telah muncul mengatakan pihak berkuasa enggan membenarkan orang Islam membaiki masjid mereka.

“Ini bukan fenomena yang baru – selepas Cyclone Nargis pada tahun 2008, umat Islam hanya dibenarkan membuat pembaikan kecil di masjid-masjid yang rosak, dan telah dihalang daripada membina semula masjid-masjid yang musnah. Walhal, terdapat sumbangan disalurkan bagi membina semula tempat ibadat Buddha yang rosak.

“Kerajaan pula cenderung untuk menerangkan bahawa peningkatan dramatik dalam permusuhan terhadap masyarakat Islam di Burma sejak 2012 adalah kerana ketegangan kaum.

“Walau bagaimanapun, keputusan untuk meneruskan sekatan terhadap pembinaan semula masjid adalah bukti bahawa pihak berkuasa terlibat dalam penganiayaan terhadap umat Islam dengan menafikan tempat ibadat mereka, yang jelas bertentangan dengan Perkara 18 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat,” katanya.

The post Laporan dedah kekejaman Myanmar bukan hanya pada Rohingya appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Laporan dedah kekejaman Myanmar bukan hanya pada Rohingya
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Laporan dedah kekejaman Myanmar bukan hanya pada Rohingya"

Back To Top