Gema Semua Maklumat

PAS desak kerajaan lebih tegas dalam isu Rohingya

PAS desak kerajaan lebih tegas dalam isu Rohingya

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 5 Muharram 1439H, Selasa – Malaysia perlu menunjukkan komitmen sebenar berhubung isu penindasan ke atas etnik minoriti muslim Rohingya dengan merangka pelan tindakan bersama di peringkat nasional serta global.

Sehubungan itu, PAS sekali lagi mengesyorkan beberapa usaha dan langkah yang perlu diambil oleh kerajaan berhubung krisis kemanusiaan di Rakhine.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, kerajaan perlu segera mengadakan sidang khas Parlimen bagi memuktamadkan tindakan yang wajar diambil oleh mereka.

“Selain, memberikan kata dua kepada kerajaan Myanmar dan tekanan diplomatik yang selayaknya.

“Menganjurkan mesyuarat tergempar dengan negara-negara yang mempunyai pendirian yang sama dengan Malaysia dalam isu ini untuk mengambil langkah bersama yang efektif dalam menangani penderitaan Rohingya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Filipina sebagai Pengerusi ASEAN dalam satu kenyataan menyatakan, menteri-menteri luar kesatuan itu mengutuk serangan ke atas pasukan keselamatan Myanmar pada 25 Ogos lalu dan semua tindakan keganasan yang mengakibatkan kehilangan nyawa orang awam, kemusnahan rumah dan pemindahan sebilangan besar penduduk

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Luar Filipina, Alan Peter Cayetano itu juga menyatakan kesatuan berkenaan sedia menyokong kerajaan Myanmar dalam usaha mewujudkan keamanan, kestabilan, kedaulatan undang-undang dan memupuk keharmonian serta perdamaian antara pelbagai komuniti serta pembangunan yang berkekalan lagi adil di wilayah Rakhine.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Malaysia menolak dan tidak bersetuju dengan kenyataan berkenaan kerana disifatkan gagal mencerminkan situasi sebenar yang berlaku di wilayah Rakhine.

Mengulas lanjut perkara itu, Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh itu berkata, beliau menyambut baik ketegasan Wisma Putra menolak dan mengambil sikap tidak bersetuju dengan kenyataan Pengerusi ASEAN itu.

Bagaimanapun katanya, Malaysia tidak boleh sekadar berkecuali daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi ASEAN berhubung isu kemanusiaan itu.

“Selayaknya, ASEAN mesti bersama dengan masyarakat antarabangsa memberikan tekanan yang kuat dan berterusan kepada kerajaan Myanmar bagi segera memberhentikan penindasan ke atas etnik Rohingya di Arakan,” katanya.

Sehingga kini lebih ribuan etnik minoriti berkenaan dibunuh dengan kejam selain perkampungan mereka dibakar oleh rejim Myanmar.

Keadaan itu dilihat semakin buruk apabila lebih 400,000 pelarian Rohingya terpaksa meninggal Rakhine dan berlindung di negara jiran, Bangladesh.

The post PAS desak kerajaan lebih tegas dalam isu Rohingya appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di PAS desak kerajaan lebih tegas dalam isu Rohingya
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "PAS desak kerajaan lebih tegas dalam isu Rohingya"

Back To Top