Oleh Athirah Huda Zalhe
SHAH ALAM, 7 Muharram 1439H, Khamis – Objektif dakyah Kristian tidak lagi hanya mengkristiankan sesiapa sahaja penganut agama lain, sebaliknya menjadikan orang Islam lemah daripada pegangannya, dedah Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni.
Beliau berkata, objektif berkenaan antara lainnya juga untuk melemahkan segala peruntukan dalam Perlembagaan dan undang-undang negara yang memberi kekuatan kepada imej serta amalan Islam di Malaysia.
“Mereka bukan setakat mengkristiankan orang Hindu, Buddha tetapi juga orang Islam. Dan matlamat mereka yang paling rendah yang mahu dicapai adalah melemahkan pegangan orang Islam.
“Bila orang Islam mula lemah, maka berlaku berlaku kelemahan orang Islam untuk mempertahankan Perlembagaan, institusi keagamaan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pembentangan Wacana Isu Semasa Dan Perundangan Peringkat Negeri Selangor ‘Ancaman Semasa Umat Islam’ (Pemikiran, Dakyah dan Penyelewengan) Anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di sini, hari ini.
Merujuk sekitar tahun 60-an dan 70-an, Ustaz Fauzi berkata, keadaan Malaysia ketika itu dilihat jauh berbeza dengan negara hari ini.
“Kalau tengok tahun 60-an dan 70-an boleh lihat betapa jauhnya Malaysia sekarang dengan dulu. Dari segi adabnya, komunikasi, cara kerja dan kes jenayahnya sangat berbeza.
“Jika dahulu, kita sebut Islam sebagai agama, bila agama lain sebagai ugama supaya dapat beza antara Islam dan bukan Islam.
“Kubur Islam kita panggil kubur, tetapi bukan Islam kita tidak panggil sebagai kubur, tetapi jirat Cina atau India. Orang dahulu sangat kuat mempertahankan perkara sebegitu,” katanya.
Katanya, dakyah Kristian di negara ini bukan bersifat rekaan sebaliknya hakikat yang benar berlaku dan memberi ancaman kepada keselamatan Malaysia serta umat Islam.
Jelas Ustaz Fauzi, perkara itu dapat dibuktikan dengan beberapa insiden antaranya isu kalimah Allah, Evangelism melalui Kelab Bola Sepak Brazil, tuntutan melalui Comango, Deklarasi Penang dan Octoborfest.
Jelasnya, 80 peratus Kristian yang bergerak di Malaysia adalah aliran Evangelis, juga merupakan gerakan Kristian liberal dengan menjadikan aspek ketuhanan sebagai topeng mereka sahaja.
“Kristian Evangelis adalah yang boleh menerima segala bentuk agama. Dia boleh panggil nama Tuhan dia macam-macam, bentuk gereja boleh diubah-ubah, jika dalam gereja ada kerusi tetapi dia boleh bersimpuh macam kita duduk antara dua sujud. Dia boleh ubah semua itu.
“Malah dia boleh menerima orang yang pakai baju melayu, pakai kopiah tetapi Kristian, pergi masjid tetapi Kristian sebab mereka liberal. Itulah kategori Evangelis. Mereka adalah Kristian politik dan lebih mirip ateis,” katanya.
Ustaz Fauzi berkata, ia akan terus menjadi ancaman kerana golongan berkenaan mengundang campur tangan luar dalam gerakan itu, tidak hanya bantuan dana sebaliknya juga daripada sudut strategi dan kepakaran.
“Ancaman itu semakin meningkat apabila kita mendapati kerjasama yang cukup erat di antara pihak gereja dan parti-parti politik bukan Islam. Masing-masing memainkan peranan dalam bidang mereka yang tersendiri lengkap melengkapi antara satu sama lain.
“Satu kempen kesedaran dan langkah-langkah pengukuhan perlu dilakukan oleh semua pihak di dalam menghadapi ancaman dakyah Kristian ini. Di masa yang sama, langkah proaktif untuk mengekang dan mematikan dakyah itu perlu terus difikirkan dengan serius,” katanya.
The post Misi Evangelis bukan setakat mengkristiankan, tetapi melemahkan orang Islam appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Misi Evangelis bukan setakat mengkristiankan, tetapi melemahkan orang Islam
0 Komentar untuk "Misi Evangelis bukan setakat mengkristiankan, tetapi melemahkan orang Islam"