Oleh Athirah Huda Zalhe
SHAH ALAM, 7 Muharram 1439H, Khamis – Pihak berkuasa sepatutnya mendakwa atau mengambil tindakan ke atas penganjur program yang mengundang aktivis liberal Turki, Mustafa Aykol ke negara ini, Ahad lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim), Prof Datuk Mahamad Naser Disa berkata, program seumpamanya itu bukanlah pertama kali dianjurkan oleh pertubuhan liberal Islamic Renaissance Front (IRF), yang dilihat kerap mengundang individu berpandangan salah berkaitan Islam.
“Sepatutnya kita ada memberi cadangan supaya sekat Mustafa daripada masuk ke Malaysia melalui Notis Penolakan Masuk (NTL), tetapi ia lambat dikemukakan kepada Imigresen.
“Oleh sebab itu, dia boleh masuk ke sini dan ditahan selepas daripada program itu pada Ahad lepas di KLIA,” katanya ketika ditemui Ismaweb di sini, hari ini.
Beliau bagaimanapun kesal kerana penulis dan wartawan Turki terbabit hanya dipanggil soal siasat, kemudian dibebaskan dan dibenar pulang ke negaranya.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam satu kenyataan sebelum ini mengesahkan penahanan Mustafa bagi membantu siasatan, dan dibebaskan pada Selasa lalu selepas pihak penguatkuasa agama berpuas hati dengan keterangannya.
Dia ditahan mengikut Seksyen 58(2) Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560) bagi melengkapkan siasatan atas kesalahan mengajar tanpa tauliah.
Menurut Pengarah Jawi, Abdul Aziz Jusoh, Mustafa mendakwa bahawa dia tidak dimaklumkan oleh penganjur berhubung keperluan mendapatkan tauliah daripada pihak berkuasa agama bagi mana-mana individu yang mahu mengajar mengenai agama Islam di Malaysia.
“Jahil berkenaan undang-undang bukanlah satu alasan, sebaliknya perlu tahu bidang kuasanya bercakap mengenai Islam,” kata Naser yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Terdahulu, Naser ditemui pada program Wacana Isu Semasa Dan Perundangan Peringkat Negeri Selangor, ‘Ancaman Semasa Umat Islam’ (Pemikiran, Dakyah dan Penyelewengan) Anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di sini, hari ini.
The post Penganjur program undang Mustafa Aykol patut didakwa appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Penganjur program undang Mustafa Aykol patut didakwa
0 Komentar untuk "Penganjur program undang Mustafa Aykol patut didakwa"