KUALA SELANGOR, 16 Zulhijjah 1438H, Khamis – Polis sedang mengesan pemandu kenderaan jenis pacuan empat roda Toyota Hilux, dipercayai merempuh ketua jurulatih dan empat atlet berbasikal Paralimpik negara, di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar), pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Roslan Abdullah berkata, pihaknya meminta orang ramai dan saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat ataupun menyaksikan kemalangan boleh menghubungi pihak polis bagi membantu kita mengesan pemandu berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu cuai hingga menyebabkan kemalangan.
Jelas Roslan, ketika kejadian jam 10.45 pagi itu, empat pelumba basikal dan seorang pengiring yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dari arah Ijok ke Rawang sedang menunggang di lorong tengah.
“Kemudian datang sebuah kenderaan Toyota Hilux dipercayai ingin menukar lorong ke susur Bandar Tasik Puteri melanggar mereka dan kemudian melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa yang terbabit adalah Johari Nayan, Mohd Khairul Hazwan Wahab, Khairul Nizam Mohd Ali, Mohd Ridzuan Zainal dan Syafiq Suhaimy.
Beliau memaklumkan, kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan lanjut.
The post Polis buru pemandu Hilux rempuh jurulatih, atlet Paralimpik appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Polis buru pemandu Hilux rempuh jurulatih, atlet Paralimpik
0 Komentar untuk "Polis buru pemandu Hilux rempuh jurulatih, atlet Paralimpik"