Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 6 Safar 1439H, Khamis – Tindakan terdesak pengusaha produk dengan menyiarkan iklan yang memaparkan adegan cubaan membunuh diri disifatkan sebagai melampau dan keterlaluan.
Public Health Malaysia (PHM) dalam satu kenyataan meluahkan kekecewaan dan mengecam penyiaran iklan produk yang kononnya khusus untuk kesihatan kerana memaparkan beberapa adegan yang tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat.
Video berdurasi 1 minit 36 saat itu memaparkan watak utama yang dilakonkan oleh seorang lelaki mengambil tindakan untuk membunuh diri selepas menerima surat daripada pihak hospital berikutan menghidap masalah kesihatan kritikal.
Video iklan berkenaan secara jelas menunjukkan babak cubaan membunuh diri dengan terperinci tanpa sebarang tapisan, sebelum di akhir video dipaparkan promosi produk jenama ‘Dhab Sinai’ didakwa khusus untuk mereka yang mengalami masalah darah tinggi, kencing manis dan kolestrol.
“Mengapakah pengusaha produk begitu terdesak untuk melakukan ‘hard selling’ sebegini sehingga sanggup menghasilkan video provokasi seperti ini?
“Apa yang pengusaha perlu tahu sebelum sesuka hati mempermainkan isu bunuh diri dalam pemasaran murahan anda,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, statistik di negara ini menunjukkan empat daripada 10 masyarakat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental, sehingga terdapat di antara mereka mengambil keputusan mengakhiri penderitaan dengan membunuh diri.
“Tahukah anda, setiap 40 saat, satu nyawa akan terkorban akibat bunuh diri. Setiap tahun, kira kira 800 ribu nyawa melayang begitu sahaja akibat masalah ini.
“Data terkini juga menunjukkan trend golongan remaja dan belia melakukan cubaan untuk membunuh diri juga semakin meningkat saban tahun.
“Menurut Befrienders, 20 dari 68 individu yang menghubungi Befreinders setiap hari memiliki keinginan untuk mebunuh diri,” katanya.
Malah PHM berkata, antara golongan berisiko tinggi terlibat dengan tindakan membunuh diri adalah pesakit kronik.
“Dalam kajian yang bertajuk ‘The Truth About Suicide’, pengkaji mendapati satu daripada 10 mangsa bunuh diri merupakan penghidap penyakit kronik.
“Pesakit kronik seperti kanser, kencing manis, penyakit jantung telah dikenalpasti sebagai golongan berisiko tinggi untuk membunuh diri. Apakah impak video provokasi sebegini kepada pesakit mental?,” katanya.
Jelasnya, iklan seumpama itu dianggap menjadi pendorong kepada pesakit yang sedang mengalami kemurungan dan depresi untuk meniru aksi yang dipaparkan.
“Bagaikan bisikan halus, paparan imej dan babak membunuh diri boleh menyebabkan pesakit meniru aksi tersebut.
“Lebih menjelikkan, paparan video juga menunjukakn bagaimana pihak hospital menggunakan surat untuk memaklumkan penyakit kronik pesakit ditahap kritikal menerusi surat. Tiada siapa pernah melakukannya dan jelas melanggar etika perubatan,” katanya.
Serentak itu, PHM mendesak pengusaha produk Dhab Sinai supaya membuat permohonan maaf secara terbuka atas tindakan yang tidak sensitif dan melampau itu.
The post Adegan cubaan bunuh diri dalam iklan melampau appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Adegan cubaan bunuh diri dalam iklan melampau
0 Komentar untuk "Adegan cubaan bunuh diri dalam iklan melampau"