Gema Semua Maklumat

Dewan Rakyat lulus RUU insurans pekerja

Dewan Rakyat lulus RUU insurans pekerja

KUALA LUMPUR, 6 Safar 1439H, Khamis – Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan 2017 yang bertujuan menyediakan insurans bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan dengan faedah bantuan kewangan sementara.

Rang Undang-Undang itu diluluskan dengan pindaan selepas dibahaskan 14 Ahli Parlimen.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem ketika menggulung RUU berkenaan berkat, melalui sistem insurans itu, pekerja yang hilang pekerjaan akan diberikan latihan untuk kembali ke alam pekerjaan.

“Ini termasuk kepada golongan yang telah berumur antara 40 hingga 50 tahun yang boleh dipadankan dengan latihan bersesuaian,” katanya.

Terdahulu, ketika membentang RUU itu untuk bacaan kali kedua, Riot berkata, sistem insurans berkenaan memperuntukkan caruman berkadaran 0.4 peratus daripada gaji yang diinsuranskan (GYD), iaitu majikan dan pekerja masing-masing menyumbang 0.2 peratus kepada caruman insurans itu.

Beliau berkata, ia penting bagi membantu pekerja yang hilang pekerjaan, khususnya jika berlaku kegawatan atau kejatuhan ekonomi.

Katanya, sebagai sebuah negara perdagangan yang semakin berintegrasi dengan rantaian ekonomi global, risiko pendedahan dengan impak kejatuhan ekonomi tidak dapat dielakkan.

“Pada tahun 2015, lebih 44,000 orang kehilangan pekerjaan yang antara lain berpunca dari langkah automasi dalam sektor kewangan, penstrukturan syarikat dan kejatuhan harga minyak mentah di pasaran dunia. Pada 2016, lebih 38,000 orang kehilangan pekerjaan dengan majoriti dalam bidang peruncitan, pembuatan dan pengkuarian,” katanya.

Bagi majikan, Riot berkata, pelaksanaan sistem insurans itu dapat meningkat produktiviti syarikat melalui pekerja yang telah mengikuti peningkatan kemahiran dan latihan semula di samping dapat mengurangkan tekanan sekiranya timbul keperluan mengurangkan kos, mengecilkan operasi atau syarikat muflis.

Persidangan disambung esok. – Bernama

The post Dewan Rakyat lulus RUU insurans pekerja appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Dewan Rakyat lulus RUU insurans pekerja
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Dewan Rakyat lulus RUU insurans pekerja"

Back To Top