Gema Semua Maklumat

MAIPs bina lima masjid, perigi di Cox’s Bazar bantu Rohingya

MAIPs bina lima masjid, perigi di Cox’s Bazar bantu Rohingya

KANGAR, 27 Muharram 1439H, Selasa – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) membina lima masjid dan puluhan telaga di kawasan kem pelarian Rohingya Cox’s Bazar di Bangladesh.

Muftinya, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang membuat lawatan ke kem itu berkenan merasmikan pembukaan masjid tersebut malam tadi.

Catatan terkini laman sosial Facebook Asri menyatakan beliau amat kagum dengan sambutan yang diberikan oleh pelarian yang hadir beramai-ramai untuk solat berjemaah di masjid itu.

Beliau turut memberi tazkirah kepada mereka yang hadir menggunakan bahasa Inggeris dan diterjemah ke dalam bahasa yang lebih difahami masyarakat Rohingya.

“Apabila saya membaca ayat-ayat suci al-Quran dan meminta mereka respons dengan ayat-ayat yang dibaca, mereka menyambung bacaan dengan baik.

“Ini bermakna walaupun hidup dalam penuh penderitaan dan kesengsaraan, mereka tidak pernah tinggal membaca al-Quran,” kata Asri dalam catatannya itu.

Turut sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Nor serta pemimpin beberapa badan sukarela lain yang mengiringi Raja Muda yang juga Yang Dipertua MAIPs dalam lawatan dua hari itu ke kawasan tersebut.

Sumbangan segera buat pelarian di situ ialah bekalan makanan, di samping merancang untuk membantu hospital di Cox’s Bazar yang terlalu daif dan serba kekurangan.

“Keadaan di hospital tersebut amat menyedihkan dan menyayat hati. Ruang dan kemampuan hospital sangat terhad sedangkan ia terpaksa menampung jumlah pesakit yang berlipat ganda,” katanya. – Bernama

The post MAIPs bina lima masjid, perigi di Cox’s Bazar bantu Rohingya appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di MAIPs bina lima masjid, perigi di Cox’s Bazar bantu Rohingya
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "MAIPs bina lima masjid, perigi di Cox’s Bazar bantu Rohingya"

Back To Top