Gema Semua Maklumat

SALAHKAH JIKA PENGUSAHA LAUNDRET MELETAKKAN TANDA “UNTUK ORANG ISLAM SAHAJA”?

SALAHKAH JIKA PENGUSAHA LAUNDRET MELETAKKAN TANDA “UNTUK ORANG ISLAM SAHAJA”?

Jawapan saya: Tidak.

Sepanjang ingatan saya, saya tidak pernah berjumpa satu peruntukan undang-undang di Malaysia yang mengatakan perbuatan itu salah di sisi undang-undang. Tolong tunjuk kepada saya jika ada.

Pengusaha laundret adalah seorang individu, bukan pihak berkuasa kerajaan. Peruntukan Perlembagaan mengenai kesamarataan (Perkara 8) tidak terpakai kepada seorang individu. Peruntukan itu hanya terpakai kepada kerajaan.

Mari kita lihat peruntukan berkenaan.

Klausa (1) mengisytiharkan bahawa setiap orang adalah sama rata disisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Klausa (2) pula melarang adanya diskriminasi, antara lain, atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan dalam sesuatu pihakberkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perkara yang tersebut dalan klausa itu.

Perhatikan bahawa semua larangan itu tidak berkenaan dengan seorang individu.

Pengusaha laundret adalah seorang ahli perniagaan. Dia boleh memilih untuk berniaga dengan sesiapa yang dia mahu. Dia tidak perlu memberi apa-apa sebab kepada sesiapa.

Seorang peniaga tentu sekali mahu perniagaannya maju. Untuk itu dia perlu menarik seberapa ramai pelanggan ke kedainya. Jika, sebagai seorang pengusaha laundret, dia dapati perniagaannya lebih maju jika ia dibuka kepada orang Islam sahaja, terserahlah kepadanya untuk membuka kedainya kepada orang Islam sahaja.

Jika kebanyakan bakal pelanggannya orang Islam dan mereka tidak akan datang ke kedainya jika mesin yang sama digunakan untuk mencuci basuhan orang bukan Islam biar apa pun sebabnya, apa salahnya jika dia meletakkan tanda itu?

Kita tidak boleh menyalahkan pengusaha laundret jika pelanggan atau bakal pelanggannya tidak suka mesin yang sama digunakan oleh orang bukan Islam untuk mencuci basuhan mereka. Kita juga tidak boleh menyalahkan pelanggan atau bakal pelanggan pekedai itu jika mereka tidak mahu pergi ke kedai itu jika hal seperti itu berlaku.

Mungkin mereka merasa jijik, kotor atau geli memikirkan seluar dalam yang dipakai oleh orang-orang yang tidak membasuh najis kencing, berak dan haidnya atau tuala yang mungkin digunakan untuk mengeringkan bulu anjing juga dimasukkan untuk dicuci dengan mesin yang saya walaupun secara berasingan.

Satu cara lain untuk mencapai tujuan yang sama ialah dengan meletakkan tanda yang menyatakan: Tidak dibenarkan memasuki culi atau seluar dalam yang dipakai oleh orang-orang yang tidak mencuci kencing, berak dan darah haid dengan air; tuala yang digunakan untuk mengeringkan atau terkena bulu anjing atau pakaian atau kain yang terkena darah, daging atau mana-mana bahagian daripada babi atau makanan yang diperbuat daripadanya!

Kita tidak boleh mengharapkan seorang pengusaha laundret untuk menulis sedemikian dan siapakah yang akan membacanya?

Perlu diingati bahawa ini bukan sahaja soal hukum. Ini juga soal perasaan seseoang pelanggan atau bakal pelanggan terhadap persepsinya mengenai perkara tersebut dan reaksinya. Pengusaha laundret adalah penerima akibatnya. Salahkah jika dia cuba mengurangkan kerugiannya dengan berusaha mengelak sebabnya? Mungkin dia sendiri pun merasa geli melihat perkara seperti itu berlaku. Salahkah jika di cuba mengelaknya?

Demikian juga, kebanyakan orang Islam keberataan menyewa rumah mereka kepada orang bukan Islam kerana mereka tidak mahu anjing masuk ke dalam rumah mereka atau makanan yang mengandungi daging babi di bawa masuk ke dalam rumah mereka atau mereka tidak mahu daging babi atau makanan yang mengandungi daging babi diletak di dalam peti ais mereka, jika ia disediakan. Salahkah jika dalam iklan mereka menyebut “Orang Islam Sahaja”?

Jangan terlalu sensitif terhadap perasaan orang bukan Islam sehingga orang bukan Islam tidak perlu sensitif terhadap perasaan orang Islam. Ini tanggungjawab bersama.

Tun Abdul Hamid Mohamad
Bekas Ketua Hakim Negara

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net. Artikel ini disiarkan lebih awal dalam www.tunabdulhamid.my 13 Oktober 2017.

The post SALAHKAH JIKA PENGUSAHA LAUNDRET MELETAKKAN TANDA “UNTUK ORANG ISLAM SAHAJA”? appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di SALAHKAH JIKA PENGUSAHA LAUNDRET MELETAKKAN TANDA “UNTUK ORANG ISLAM SAHAJA”?
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "SALAHKAH JIKA PENGUSAHA LAUNDRET MELETAKKAN TANDA “UNTUK ORANG ISLAM SAHAJA”?"

Back To Top