BANGI, 6 Safar 1439H, Khamis – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau berkata bahawa semua orang Bugis berketurunan lanun.
Sebaliknya, beliau berkata, ucapannya pada satu program merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mungkin berasal dari keturunan lanun Bugis.
Sambil meletakkan pautan klip video sedutan ucapannya di program berkenaan dalam blog beliau hari ini, Dr Mahathir berkata, ucapannya ditujukan kepada Najib yang sering mendakwa beliau adalah pahlawan Bugis.
“Saya tidak pernah kata orang Bugis semuanya lanun. Yang saya kata ialah Najib mungkin berasal dari lanun Bugis.
“Ucapan saya dituju kepada Najib yang sering mendakwa ia adalah pahlawan Bugis. Pahlawan Bugis tidak mencuri. Najib pencuri besar dan dikenali sebagai penyamun oleh seluruh dunia.
“Apakah orang Bugis dapat menyambut baik bahawa penyamun ini seorang pahlawan berketurunan Bugis,” katanya.
Pada 2009 lalu, Najib yang melakukan lawatan ke Sulawesi sempena sambutan ulang tahun ke-689 Kerajaan Gowa, dianugerahkan gelaran Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone. Gelaran berkenaan dimiliki darah keturunan Raja Gowa yang ke-19, Sultan Abdul Jalil Tumenanga Ri Lakiung.
Bekas Presiden UMNO selama 22 tahun yang kini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, di negara ini ada raja yang berketurunan Bugis, ada Melayu yang berketurunan lanun.
“Tetapi tidak ada Melayu yang merompak duit berbillion yang dakwa mereka adalah pahlawan Melayu. Yang kita lihat sekarang ialah seorang perompak Melayu yang mendakwa dirinya pahlawan Bugis.
“Saya tidak fikir orang Bugis boleh berbangga dengan seorang penyangak mendakwa ia adalah pahlawan Bugis,” katanya.
Najib sebelum ini dikaitkan dengan pelbagai skandal membabitkan wang, termasuk RM2.6 bilion yang ada dalam akaun peribadinya. Najib mendakwa wang itu didermakan oleh individu di Arab Saudi.
Beliau juga menafikan tuduhan terbabit dalam dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah berbilion-bilion ringgit yang dilaporkan diseleweng.
The post Saya tak kata semua Bugis lanun, saya merujuk kepada Najib appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Saya tak kata semua Bugis lanun, saya merujuk kepada Najib
0 Komentar untuk "Saya tak kata semua Bugis lanun, saya merujuk kepada Najib"