Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 6 Safar 1439H, Khamis – Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mengariskan sembilan syor yang diharap diambil kira oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2018 yang akan dibentang di Dewan Rakyat, petang esok.
Ketua Wanitanya, Dr Norsaleha Mohd Salleh berkata, syor itu dikemuka memandangkan banyak keperluan dan kebajikan wanita belum diberi perhatian.
Katanya, kejayaan golongan wanita dalam pelbagai bidang di negara ini tidak dapat disangkal lagi menerusi pembabitan dan sumbangan mereka daripada pelbagai sektor.
“Kerajaan perlu mengambil kira senario wanita yang sedia ada dengan bebanan tugas dan tanggungjawab, fungsi utamanya sebagai ibu dan isteri dan keharmonian rumahtangga yang dibina.
“Diiharapkan, bajet yang disenaraikan perdana menteri esok turut memberi tumpuan kepada golongan wanita,” katanya.
Syor yang diutarakan Wanita Isma ialah:
1. Pemberian subsidi untuk pendidikan anak-anak, seperti penolakan cukai untuk yuran tadika atau taska berdaftar;
2. Pemberian subsidi percuma untuk saringan kesihatan seperti Pap Smear dan mamogram;
3. Pemberian insentif kelahiran bagi setiap kelahiran dalam bentuk pelaburan, seperti Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i);
4. Pemberian cuti bersalin sehingga 3 bulan (buat masa ini masih dengan kelulusan ketua jabatan);
5. Pemberian elauan bantuan pengurusan rumah tangga kepada golongan wanita menyambung Master dan PHD;
6. Memudahkan pengambilan dan visa pembantu rumah melalui ajen yang berkredibiliti dengan kos yang berpatutan;
7. Menyediakan bajet khas untuk NGO melaksanakan program memulihkan anak yang terlanjur atau nakal;
8. Menyediakan bajet khas untuk wanita tidak bekerja yang dianiaya suami, termasuk urusan di Mahkamah Syariah yang tertangguh belasan tahun; dan
9. Pemberian cuti bersalin dengan bergaji iaitu tidak ada pemotongan gaji atau kena bayar gaji semula selepas bersalin, walau berapa kali pun bersalin.
The post Wanita Isma kemuka 9 cadangan Bajet 2018 appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Wanita Isma kemuka 9 cadangan Bajet 2018
0 Komentar untuk "Wanita Isma kemuka 9 cadangan Bajet 2018"