KUALA LUMPUR, 9 Rabiulawal 1439H, Selasa – Laluan kereta api bagi Tumpat-Tanah Merah ditutup sementara hari ini atas faktor keselamatan berikutan banjir.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan hari ini berkata laluan itu ditutup berikutan landasan di antara Pasir Mas ke Tanah Merah iaitu di kilometer 490.00 hingga 493.00 ditenggelami air pukul 9.35 pagi ini.
“Perkhidmatan KTMB sektor Pantai Timur akan diteruskan dengan menggunakan bas di antara stesen Pasir Mas ke Stesen Tanah Merah tertakluk kepada keadaan kedudukan paras air banjir terkini.
“Bagaimanapun, penggunaan bas ini juga tertakluk kepada keadaan jalan raya yang disahkan boleh dilalui dan bebas banjir. Keselamatan para penumpang adalah keutamaan kami,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan bagi perkhidmatan Ekspres Timuran No.26 (JB Sentral-Tumpat), perkhidmatan tren hanya disediakan dari Stesen JB Sentral sehingga Stesen Tanah Merah dan para penumpang akan meneruskan perjalanan ke Stesen Tumpat menggunakan bas yang disediakan oleh KTMB.
Bagi perkhidmatan Ekspres Timuran No.27 (Tumpat-JB Sentral) pula, para penumpang akan menaiki bas dari Stesen Tumpat ke Tanah Merah, sebelum meneruskan perjalanan ke Stesen JB Sentral menggunakan tren.
Selain itu, penumpang perkhidmatan tren shuttle KTM Intercity No.52 dan No.60 (Gua Musang-Tumpat) pula akan menaiki tren dari Stesen Gua Musang ke Tanah Merah sebelum meneruskan perjalanan menggunakan bas ke Stesen Tumpat.
Bagi, perkhidmatan tren shuttle KTM Intercity No.51 dan No 57 (Tumpat-Gua Musang) penumpang akan dibawa menaiki bas dari Stesen Tumpat ke Tanah Merah sebelum meneruskan perjalanan dengan menaiki tren ke Stesen Gua Musang.
Operasi tren shuttle KTM Intercity No.55 dan No.56 (Tumpat-Dabong) dibatalkan manakala tren shuttle KTM Intercity No.50 dan No.58 (Kuala Lipis-Gua Musang) serta No 53 dan No 59 (Gua Musang-Kuala Lipis) pula beroperasi seperti biasa.
Menurut kenyataan itu, para penumpang tren Intercity dan shuttle sektor Pantai Timur yang ingin membatalkan perjalanan layak untuk mendapat pemulangan tambang penuh atau membuat pertukaran tarikh perjalanan bergantung kepada kekosongan tiket.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200. –Bernama
The post KTM: Laluan Tumpat-Tanah Merah ditutup appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di KTM: Laluan Tumpat-Tanah Merah ditutup
0 Komentar untuk "KTM: Laluan Tumpat-Tanah Merah ditutup"