IPOH, 21 Safar 1439H, Jumaat – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil kira-kira 6,000 pegawai dan anggota baharu bermula Januari tahun depan secara berperingkat.
Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk T. Narenasagaran berkata, pengambilan rekrut baharu itu adalah bagi mengisi pelbagai jawatan sedia ada serta kekosongan jawatan pegawai dan anggota yang telah bersara atau berhenti.
Katanya, pengambilan pegawai dan anggota baharu itu melibatkan jawatan seperti inspektor, anggota berpangkat rendah, konstabel sokongan termasuk konstabel Orang Asli dan kadet polis.
“Pengambilan baharu ini adalah bagi memantapkan keupayaan dan kapasiti PDRM untuk memenuhi keperluan serta memberi perkhidmatan kepada masyarakat di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas PGA Siri 1/2017 membabitkan 658 pegawai dan anggota di Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini, hari ini.
Beliau berkata, PDRM mempunyai 13 Pusat Latihan Polis di seluruh negara antaranya di Kuching, Sarawak; Segamat, Johor; Langkawi, Kedah; Sabah dan Kuala Lumpur.
Sementara itu, Narenasagaran dalam ucapannya berkata, PGA kini bukan sekadar barisan kedua dalam penugasan kepolisan, malah pasukan itu memberi impak dan relevansi implikasi terhadap kepercayaan serta keyakinan masyarakat dan kerajaan kepada organisasi PDRM.
Beliau berkata, ia terbukti melalui penugasan bantuan pencegahan jenayah dan di beberapa Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) di negara ini.
Katanya, selain itu, peranan PGA dalam memastikan kestabilan ketenteraman awam ketika berlangsungnya acara besar yang melibatkan keselamatan negara serta penugasan kawalan keselamatan di barisan hadapan.
“PGA turut terlibat dalam penugasan mencari dan menyelamat bersama-sama dengan agensi lain serta penugasan keselamatan semasa negara menghadapi krisis dan bencana dan di peringkat antarabangsa. Selain itu, PGA juga terlibat dalam penugasan misi pengaman dan pemerhati di negara rantau Asia yang sedang bergolak,” katanya.
Narenasagaran berkata, PGA sebagai sebuah pasukan militari, adalah penting bagi setiap pegawai dan anggota memiliki kemahiran dan kepakaran dalam bidang ‘counter insurgency warfare’, peperangan konvensional dan ketenteraman awam.
“Saya ingin menasihati setiap pegawai dan anggota supaya sentiasa memiliki nilai etika yang tinggi, melatih hati agar sentiasa bersifat jujur, ikhlas dan amanah semasa menjalankan tugas.
“Setiap pegawai dan anggota perlu mengelakkan diri daripada terjebak dalam sebarang gejala negatif seperti penyalahgunaan kuasa, rasuah, penagihan dadah, judi serta lain-lain kesalahan yang melanggar peraturan dan perundangan negara,” katanya. – Bernama
The post PDRM rekrut 6,000 anggota baharu tahun depan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di PDRM rekrut 6,000 anggota baharu tahun depan
0 Komentar untuk "PDRM rekrut 6,000 anggota baharu tahun depan"