KUALA LUMPUR, 1 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Sokongan berterusan kerajaan dalam memperkasa sistem pendidikan tahfiz di negara ini terbukti berjaya menghasilkan pelajar yang mempunyai kelebihan dan kewibawaan tersendiri.
Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, dasar kerajaan yang tidak meminggirkan sekolah tahfiz terutamanya yang berdaftar membolehkan pelajar-pelajar aliran itu menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi di dalam dan luar negara.
“Berdasarkan pengalaman saya sebelum ini sebagai Panel Temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), pelajar-pelajar tahfiz ada kelebihan, mereka lain dari pelajar biasa kerana mereka ada kewibawaan tersendiri.
“Malah, ramai yang lahir dari sekolah tahfiz berjaya menjadi doktor, peguam, jurutera, juruterbang dan dalam pelbagai bidang lain,” katanya ketika menyampaikan ceramah motivasi kepada kira-kira 150 pelajar di Madrasah Tahfiz Ar Raudhah di Beranang, Selangor hari
ini.
Mustapha yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kesejahteraan Bandar (YKB) di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan berkata, pelajar tahfiz perlu menggunakan sepenuhnya peluang yang ada untuk belajar.
Beliau berkata, pelajar tahfiz di Malaysia beruntung jika dibandingkan dengan pelajar tahfiz di beberapa negara lain seperti Kemboja yang miskin dan daif sehingga tidak ada baju yang cukup untuk dipakai tetapi gigih berusaha menimba ilmu.
“Kita patut bersyukur kerana negara kita aman damai jika dibandingkan dengan anak-anak di beberapa negara yang dalam kancah perang seperti Palestin, Yaman dan Iraq, ramai yang tidak dapat meneruskan pengajian dan hidup dalam ketakutan serta serba kekurangan.
“Oleh itu, tidak mustahil pelajar-pelajar tahfiz kita boleh berjaya kerana negara kita mempunyai banyak kemudahan dan buku buku rujukan. Pelajar juga patut bersyukur dan berterima kasih kepada ibu bapa yang peka dengan memberi penekanan terhadap pengajian agama Islam,” katanya.
Madrasah Tahfiz Ar Raudhah ditubuhkan oleh Datuk Mustapa Othman pada 2013 dengan bilangan pelajar awal hanya 30 orang.
Kini, pelajar tahfiz itu mencecah 150 orang yang berumur antara 7 hingga 20 tahun dengan tenaga pengajar hampir 10 orang. -Bernama
The post Pemerkasaan aliran tahfiz hasilkan pelajar berwibawa appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Pemerkasaan aliran tahfiz hasilkan pelajar berwibawa
0 Komentar untuk "Pemerkasaan aliran tahfiz hasilkan pelajar berwibawa"