Gema Semua Maklumat

Baiah calon wakil rakyat: Isteri dibuat seperti barangan

Baiah calon wakil rakyat: Isteri dibuat seperti barangan

BANGI, 28 Jamadilawal 1439H, Rabu – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad hari ini mempersoalkan perjuangan pihak yang berlagak dan disanjung sebagai ulama dengan mudah menetapkan hukum semata-mata untuk kepentingan diri dan parti.

Katanya, mereka yang ingin menjadi wakil rakyat sanggup melafazkan baiah yang antara lain menceraikan isteri, apa lagi jika ianya ditetapkan oleh tuan guru mereka.

“Begitu murahkah perjuangan mereka atau begitu taksubkah mereka kepada Tuan Guru mereka?,” katanya hari ini.

Beliau berkata, lafaz baiah cerai isteri itu timbul selepas beberapa wakil rakyat meninggalkan PAS dan menyertai parti lain, dan mendedahkan perihal baiah cerai isteri itu.

“Mula-mula saya terbaca mengenai calon-calon PAS dikehendaki melafaz baiah yang antara lain menyebut, sekiranya mereka “…meninggalkan/melompat ke parti lain dengan kerelaan (mereka) sendiri setelah terpilih menjadi ahli dewan negeri/Dewan Rakyat, maka akan tertalaklah isteri/isteri-isteri (mereka) dengan tiga talak. Dan segala perbelanjaan (mereka) dengan menggunakan wang elaun ahli dewan tersebut adalah haram”, saya dapati sukar untuk mempercayainya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bekas Ahli Parlimen PKR Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin mengatakan beliau terkejut selepas perkara itu diakui rakannya dalam PAS yang pernah mengangkat baiah itu.

Memetik beberapa kenyataan pemimpin dan bekas pemimpin PAS, Abdul Hamid berkata, beliau hairan bagaimana lama PAS, termasuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Allahyarham Datuk Dr Harun Din; Datuk Harun Taib; dan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, tidak menyebut mengenai baiah yang diperkenalkan Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat itu.

“Nampaknya, pemikiran Allahyarham Nik Aziz pada masa itu masih terpengaruh dengan budaya orang Arab di zaman jahiliah yang menyifatkan isteri sebagai barangan suaminya yang boleh dinikahi dan diceraikan sesuka hati, yang tidak mempunyai perasaan. Nampaknya, pandangan beliau diterima semua peringkat ahli PAS di Kelantan atau mungkin juga keadaan memaksa mereka menerimanya.

“Ulama dan pemimpin PAS di negeri-negeri lain, walaupun kurang senang dengannya, mendiamkan diri kerana tidak mahu dilihat sebagai bercanggah pendapat dengan Allahyarham Nik Aziz. Lagi pun, versi itu hanya diamalkan di Kelantan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, sudah tiba masanya untuk ahli PAS menyedari bahawa politik tidak boleh disamakan dengan agama dan parti berjenama Islam tidak boleh disamakan dengan Islam.

“Peristiwa ini patut membuka mata ahli-ahli PAS supaya tidak terlalu taksub dengan pemimpin dan parti mereka,” katanya.

Ikuti ulasan lanjut Tun Abdul Hamid Mohamad dalam ruang Pendapat ismaweb.net.

The post Baiah calon wakil rakyat: Isteri dibuat seperti barangan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Credit kepada RZ sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Baiah calon wakil rakyat: Isteri dibuat seperti barangan
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Baiah calon wakil rakyat: Isteri dibuat seperti barangan"

Back To Top