Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 28 Jamadilawal 1439H, Rabu – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), meminta kerajaan memberi penjelasan berhubung kehadiran diplomat rejim pengganas Israel ke negara ini.
Presidennya, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, sebagai sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Isma melihat dasar negara telah mula berubah terhadap negara Yahudi Israel.
Katanya, isu rejim Zionis yang menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara mereka masih belum selesai dan terus mendapat bantahan, sebaliknya diplomat Israel pula dengan mudah dibenar masuk ke Malaysia.
“Adakah kita sudah mula memandang mudah terhadap pendudukan haram Israel di bumi Palestin? Mana kredibiliti pendirian Malaysia selama ini yang kononnya membela hak rakyat Palestin?
“Kerajaan patut menolak tindakan Israel, apatah lagi isu menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara masih panas lagi… panas diperkatakan,” katanya.
Diplomat rejim pengganas Israel diketuai Timbalan Duta negara itu ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), David Roet, berada di ibu negara selama seminggu, bagi menghadiri persidangan World Urban Forum Ke-9 (WUF9) anjuran PBB, di mana Malaysia menjadi tuan rumah, bermula 7 Februari hingga semalam.
Bercakap kepada Ismaweb hari ini, Ustaz Abdullah berkata, Isma menganggap kedatangan kakitangan rejim pengganas Israel itu sebagai satu perkembangan buruk kepada masa depan negara.
Katanya, kerajaan tidak patut bertolak ansur sehingga menggadai prinsip utama negara yang tidak mengiktiraf penjajah Israel.
“Lebih malang, dasar liberal yang ditunjukkan kerajaan kini sudah sampai kepada kemuncak kompromi,” katanya.
The post Beri visa kepada delegasi Zionis: Adakah Malaysia mahu laksanakan normalisasi diplomatik dengan rejim Israel? appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada sitifatimah sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Beri visa kepada delegasi Zionis: Adakah Malaysia mahu laksanakan normalisasi diplomatik dengan rejim Israel?
0 Komentar untuk "Beri visa kepada delegasi Zionis: Adakah Malaysia mahu laksanakan normalisasi diplomatik dengan rejim Israel?"