PASIR PUTEH, 30 Jamadilawal 1439H, Jumaat – Empat sekeluarga mati lemas manakala seorang lagi masih hilang dalam kejadian yang berlaku ketika mereka sedang mandi-manda di Pantai Tok Bali di sini jam 10.50 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, keempat-empat mangsa yang lemas dikenal pasti sebagai Yazul Bahari Yakob, 46, dan anaknya Yasmin Nor Aliza, 10, dari Serdang, Selangor; adik Yazul Bahari, Yusnina Yakob, 38, dari Tanah Merah dan anak saudara mereka, Zufika Suhaimi, 10, dari Semenyih, Selangor.
“Mayat semua mangsa ditemukan pada jam 11.15 pagi dan kami sedang menjalankan operasi mengesan Khaizuran Waliyuddin Suhaimi, 5, iaitu adik Zufika yang masih belum ditemui,” katanya kepada pemberita menerusi aplikasi WhatsApp di sini, hari ini.
Beliau berkata, mayat tiga mangsa dijumpai anggota bomba dan seorang lagi dijumpai oleh orang awam tidak jauh dari tempat kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis di sini untuk bedah siasat.
Sementara itu, tiga lelaki dilaporkan lemas ketika berkelah di Air Terjun Sungai Sendat, Ulu Yam, Selangor, tengah hari tadi.
Mayat Peacaiswaran Baloo, 25; adiknya, Nagulan Baloo, 20 tahun dan seorang rakan mereka, Ganesan Gopal Krishnan, 23, ditemui pada jam 12.50 tengah hari.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.56 pagi. – Bernama
The post Empat sekeluarga lemas, seorang masih hilang di Pantai Tok Bali appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada RZ sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Empat sekeluarga lemas, seorang masih hilang di Pantai Tok Bali
0 Komentar untuk "Empat sekeluarga lemas, seorang masih hilang di Pantai Tok Bali"