BANGI, 28 Jamadilawal 1439H, Selasa – Kehilangan bintang filem era 80-an, Azmil Mustapha, tengah hari tadi amat dirasai peminat seluruh negara.
Perjalanan seninya yang penuh warna-warni meninggalkan memori buat semua. Namun, menyedari kehidupannya sebagai seorang khalifah, Azmil membuat keputusan untuk bersara daripada dunia seni dan memberi tumpuan kepada aktiviti keagamaan sebagai pendakwah.
Allahyarham yang memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang filem, radio dan televisyen daripada Indiana University, Bloomington, Amerika Syarikat, mula bersara pada 1998 dan bergiat aktif berdakwah sejak 2000.
Beliau yang merupakan bapa tunggal kepada lima cahaya mata berusia antara 17 hingga 34 tahun, iaitu Nur Shamira, Nur Azalea Arifah, Nur Amalia Batrisha, Muhammad Bazli Zhafri, dan Nur Alia Iman pernah berhijrah ke Syria pada 2006 bersama empat anaknya, sebelum kembali ke Malaysia ekoran peperangan yang tercetus di negara itu.
Allahyarham, amat bersemangat menunaikan solat berjemaah di surau biarpun belum sihat sepenuhnya. Malah, pernah pada Februari 2016, selesai solat di sebuah surau dekat rumahnya, Azmil mula mengalami kesukaran bernafas dan nampak seperti dalam kesakitan, lantas turun dari kerusi rodanya dan duduk bersandar di atas lantai.
Hampir setengah jam, barulah Azmil kembali tenang dan duduk semula di kerusi roda. Malah, Azmil juga tetap mahu berada di dalam kuliah agama, biarpun terpaksa berbaring berdekataan jemaah lain (gambar).
Hal itu dimaklumkan oleh adiknya, Muhammad Azif Mustafa Kamil, 50.
Azif berkata, abang sulungnya itu pernah menjalani rawatan pintasan jantung pada 2016 dan pernah terkena serangan jantung sebanyak dua kali tahun lepas.
Pun begitu, beliau berkata, abangnya itu tidak pernah menjadikan ia sebagai alasan untuk meneruskan aktiviti dakwah.
Malah, katanya, kehidupannya juga sentiasa ceria walau kesihatannya tidak mencapai tahap 100 peratus.
“Dalam waktu terdekat ini pun arwah abang ada dijemput untuk memberi ceramah agama, namun Allah lebih menyayanginya. Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah,” katanya.
Azmil menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 12.40 tengah hari tadi dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini kira-kira 6.30 petang.
Jenazah sebelum itu dibawa ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini untuk dikafan dan disolatkan.
The post Hingga akhir usia Azmil Mustapha pikul tanggungjawab berdakwah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada ainulillia sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Hingga akhir usia Azmil Mustapha pikul tanggungjawab berdakwah
0 Komentar untuk "Hingga akhir usia Azmil Mustapha pikul tanggungjawab berdakwah"