
JAKARTA, 6 Jamadilakhir 1439H, Khamis – Indonesia mengisytiharkan amaran bencana ke atas empat wilayah di negara itu, susulan kebakaran hutan semalam.
Empat wilayah berkenaan adalah Sumatera Selatan, Riau, Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah, kawasan yang mudah mengalami kebakaran hutan seperti tahun sebelum ini.
Difahamkan, kebakaran hutan di Indonesia sengaja dicetuskan petani untuk membersihkan tanah bagi tujuan pertanian.
Tindakan itu menyebabkan ratusan hektar tanah musnah sejak seminggu lalu, sehingga kerajaan terpaksa menggandakan usaha memadamkan kebakaran.
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Negara Indonesia (BNBP), Dr Supoto Purwo Nughoro berkata, gabenor di empat wilayah berkenaan mengeluarkan amaran berdasarkan jumlah titik panas atau kawasan yang mudah berlaku kebakaran.
“Kesemua wilayah itu terletak di garisan khatulistiwa dengan Riau paling dekat dengan Singapura.
“Bilangan titik panas yang ditemui turut meningkat. Minggu lalu, kebanyakan kawasan titik panas ditemui di daerah Kalimantan Barat manakala Pontianak pula diselaputi jerebu tebal,” katanya.
Dalam tempoh 24 jam bermula 7 pagi waktu tempatan semalam, satelit Terra dan Aqua telah mengesan 78 kawasan titik panas di seluruh Indonesia.
Pada 2015, kebakaran hutan besar di Indonesia memusnahkan dua juta hektar tanah mencetuskan krisis jerebu di Singapura serta Malaysia. – Agensi
The post Kebakaran: Indonesia isytihar amaran bencana empat wilayah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada sitifatimah sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Kebakaran: Indonesia isytihar amaran bencana empat wilayah
0 Komentar untuk "Kebakaran: Indonesia isytihar amaran bencana empat wilayah"