BANGI, 26 Jamadilawal 1439H, Isnin – Kesukaran mencari pekerjaan kerana hanya berkelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bukan satu halangan buat Azraei Fikrey Ehsan Zainal, 27, apa lagi bergelar suami.
Tidak hanya bergantung harap kepada isteri yang merupakan seorang penjawat awam, Azraie cekal mengusahakan perniagaan bagi memperkukuh mahligai yang dibina.
Kisahnya mula tular di media sosial sejak Jumaat lalu setelah menghantar pesanan peribadi menerusi platform media sosial Instagram personaliti televisyen popular, Ahmad Fedtri Yahya bagi meminta jasa mempromosikan perniagaannya.
Menerusi pesanan peribadi itu, Azraei memberitahu, dia hendak mencari pekerjaan tetapi disebabkan oleh kelayakannya, dia terpaksa menggunakan alternatif lain untuk mencari wang saku.
“Saya tidak mahu isteri malu sekiranya saya mendapat pekerjaan yang kawan-kawannya bakal ketawakan.
“Jadi, telah saya usahakan perniagaan percetakan baju dan jersi bola sepak #AraiLeeyaProduction menggunakan hasil simpanan saya,” tulisnya yang meminta Ahmad Fedtri membantu mempromosi perniagaannya.
Ahmad Fedtri kemudian berkongsi semangat Azraei dengan turut membantu mempromosi perniagaannya.
Azraei juga turut membuka satu lagi jenis perniagaan iaitu nasi lemak ayahanda.
Dalam pada itu, Azraie seperti dilapor mStar online turut menasihatkan lelaki lain yang berpasangan dengan wanita yang lebih bekerjaya supaya bijak menguruskan keluarga dan tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata orang luar.
“Kena duduk semeja dan berbincang dengan isteri tentang masa depan keluarga. Pedulikan apa yang orang luar nak kata kerana sebagai lelaki kita harus memenuhi tanggungjawab sebagai seorang suami,” katanya.
The post Kelulusan PMR, isteri pula penjawat awam bukan alasan jadi #biawakhidup appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada ainulillia sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Kelulusan PMR, isteri pula penjawat awam bukan alasan jadi #biawakhidup
0 Komentar untuk "Kelulusan PMR, isteri pula penjawat awam bukan alasan jadi #biawakhidup"