KUALA TERENGGANU, 28 Jamadilawal 1439H, Rabu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil dua anggota Exco kerajaan negeri Pulau Pinang untuk membantu siasatan lanjut berhubung projek terowong dasar laut di negeri itu.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad bagaimanapun berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat.
“SPRM berharap semua pihak memberi ruang untuk kami menjalankan siasatan terperinci berhubung projek tersebut. Semalam, seorang anggota Exco dan hari ini pula seorang lagi anggota Exco telah dipanggil.
“SPRM bertindak profesional. Kita panggil saksi-saksi itu untuk membantu siasatan… kena faham ni, ada asasnya, kita minta mereka datang bantu siasatan… jadi tak perlulah saya nak jawab kenapa saksi tertentu dipanggil. Kalau saya jawab, susah pula. Buat masa sekarang, dua anggota Exco itu dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis lafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah pentadbiran kerajaan negeri Terengganu dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di sini hari ini.
Semalam, anggota Exco Kerja Raya Pulau Pinang, Lim Hock Seng dipanggil SPRM manakala hari ini, Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan dan Sumber Manusia Sains, Teknologi dan Inovasi negeri pula dipanggil SPRM untuk membantu siasatan projek yang dianggarkan bernilai RM3.6 bilion itu.
Sementara itu, ditanya sama ada terdapat kakitangan kerajaan yang masih melakukan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa walaupun telah menandatangani IBR, beliau berkata perkara itu masih berlaku namun melibatkan sebilangan kecil golongan tersebut. – Bernama
The post SPRM panggil Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada RZ sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di SPRM panggil Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang
0 Komentar untuk "SPRM panggil Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang"