BETUL atau tidak, hanya Allah Taala saja yang tahu. Pedang pun tak pasti berita ini palsu atau benar. Tapi, biasanya kalau tak benar maka orang akan kata berita palsu. Tapi kalau palsu pun, tidaklah sehingga keselamatan negara terancam, tidaklah kestabilan rakyat tergugat.
Malah, ramai yang membuat bermacam-macam ramalan.
Oleh kerana apa yang Pedang nak beritahu ini belum lagi berlaku, maka boleh dikatakan berita jangkaan atau ramalan. Macam buat ramalan cuaca, disangka hujan di tengah hari, tapi sebaliknya panas hingga ke petang. Maka ramalan itu tidak tepat. Lagipun, cerita ini hanyalah pemanas bualan di kedai kopi.
Cerita yang nak diberitahu ini bukan Pedang yang ramal. Pedang bukan tukang ramal. Orang lain, entah siapa. Ditularkan dari seorang ke seorang hingga lah sampai ke dalam telefon Pedang.
Ada dua cerita yang ditularkan dan mendapat perhatian hari ini. Dua-dua cerita ini memang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia.
Yang pertama. Macam biasa hari ini Rabu. Setiap minggu hari Rabu menjadi perhatian kerana pada sebelah petang nanti diumumkan harga bahan bakar – minyak petrol dan diesel.
Pedang sekadar nak sampaikan saja apa yang Pedang dapat daripada penularan cerita itu. Bukan Pedang saja-saja teka. Pedang pun dapat maklumat. Palsu atau tidak, entah lah. Tapi, apapun, Allah Taala sahaja yang tahu.
Cerita bahan bakar ini – khabarnya RON 95 akan turun antara 9 sen hingga 10 sen seliter. RON 97 pula katanya akan turun antara 11 sen dan 12 sen seliter. Manakala, minyak diesel pula dikatakan akan turun antara 10 sen hingga 11 sen seliter.
Orang yang beri cerita ini kata ‘big surprise’ untuk rakyat. Tak tahu lah ‘surprise’ atau tidak, tapi cuba kaji dulu turun naik harga bahan bakar sebelum ini.
Lihat grafik yang Pedang sertakan di bawah dan buat lah rumusan ‘surprise’ ke tidak kalau perbezaannya tujuh sen ke lapan sen.
Harga bahan bakar bagi tempoh 8 Februari hingga hari ini ialah RM2.61 bagi RON 97; RM2.33 (RON 95); dan RM2.31 (Diesel) seliter.
Kalau turun 9 sen atau 10 sen, harga RON 95 akan jadi RM2.24 atau RM2.23 seliter. RON 97 pula kalau turun 11 sen hingga 12 sen akan jadi RM2.50 atau RM2.49 seliter. Manakala diesel pula jika turun 10 sen atau 11 sen, harga barunya ialah RM2.21 atau RM2.20 seliter.
Pedang rasa tak ada lah ‘surprise’ sangat kalau turun 9 sen atau 10 sen, kerana harga barunya lebih kurang sama dengan harga pada Oktober dan November 2017, iaitu RM2.54 bagi RON 97; RM2.24 (RON 95); dan RM2.17 (Diesel). Lepas pada itu, harganya terus mencanak semula.
Jadi, kalau betul turun sehingga 11 sen, tak perlu lah siapa-siapa pun meminta dipuji. Tak payah lah nak sebut “semalam, kita umumkan turun harga minyak 10 sen, haram sepatah tak puji kerajaan”. Pedang rasa sekarang ini, kalau turun 30 sen pun tak ada pujian untuk kerajaan.
__________________________________________________________________________________
Alkisah yang kedua pula, yang ini kita boleh katakan sebagai tular yang bermain di media sosial, juga sampai ke dalam telefon Pedang.
Kononnya, Dewan Rakyat akan dibubarkan pada 22 Februari ini. Penamaan calon pada 13 Mac dan hari mengundi ialah 24 Mac. Si tular itu kata Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Yang Dipertua Dewan Rakyat telah bertemu Yang Dipertuan Agong.
Namun, banyak faktor yang perlu diambil kira jika hendak diulas cerita tular tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini. Antaranya kena kaji apakah BN sudah kuat sekarang, tiada masalah dalaman; apakah pembangkang sedang lemah sekarang kerana masih berebut kerusi.
Tarikh pemberian BR1M juga perlu diambil kira. Pusingan pertama bayaran BR1M memang akan dibuat bulan ini, tapi tarikhnya belum ditetapkan lagi. Bayaran kedua pula pada Jun dan ketiga pada Ogos. Kalau Pedang lah, hari ini bagi esok lusa buat pilihan raya, sebab rakyat masih ingat pemberian kita. Pedulikan apa pun orang nak kata.
Harga minyak seperti yang Pedang cerita di atas juga turut beri kesan kalau diturunkan sehingga 11 sen seliter, sebab harga baru akan berkuat kuasa esok selama tujuh hari iaitu sehingga 21 Februari ini (22 Februari tular Parlimen dibubarkan). Dan, sehingga 24 Mac (tarikh tular mengundi), kita ada lima kali lagi untuk melihat sama ada harga minyak naik atau turun.
Kalau hendak dikira cerita tular memang banyak. Ramai penganalisis politik kedai kopi buat ramalan. Cuma yang pasti PRU14 mesti diadakan tahun ini.
Kata Pedang: Khabarnya kerajaan BN sudah sediakan hadiah besar dan istimewa kepada kaum Cina sempena Tahun Baru Cina. Mungkin Nazri Aziz sudah tahu apa hadiah itu. Untuk pikat pengundi Cina biarlah digadaikan maruah bahasa dan masa depan pendidikan negara.
Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana. Sebarang ulasan dan pertanyaan sila e-mel katapedang@gmail.com
The post ‘Surprise’ minyak turun dan PRU appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada RZ sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di ‘Surprise’ minyak turun dan PRU
0 Komentar untuk "‘Surprise’ minyak turun dan PRU"