Gema Semua Maklumat

Kenapa akar umbi PAS lebih rela UMNO menang?

Kenapa akar umbi PAS lebih rela UMNO menang?

DI SEBUAH warung bersebelahan pintu masuk ke Kompleks PAS Kedah, tak jauh dari pekan Kota Sarang Semut, kelihatan beberapa perwakilan parti Islam PAS sedang duduk menunggu makanan yang dipesan, sambil berbual-bual.

Ada yang berjubah, berkopiah putih bersih, ada juga yang berpakaian baju Melayu. Muka masing-masing ceria, bersih. Misai, janggut dicukur rapi, penampilan selayaknya bagi yang bergelar pemimpin politik. Jauh beza daripada penampilan orang PAS dulu-dulu, zaman Allahyarham Datuk Asri Muda atau Datuk Fadzil Nor.

Di leher, tergantung pas perwakilan bertali hijau. Pedang pakai pas tali merah, khas untuk media yang membuat liputan Muktamar Tahunan PAS Ke-63. Ada juga yang tidak memakai apa-apa pas – ini tentu penyokong yang datang untuk mengikuti muktamar.

Pedang melangkah masuk mencari tempat duduk. Kerana ramai juga pelanggan dalam warung itu, termasuk muslimat dan masing-masing pula berkelompok, Pedang tiada pilihan – menuju ke sekelompok pemuda yang sedang menunggu makanan, kerana masih ada kerusi kosong.

Salam bersambut. Senyum berbalas. Orang berbudi, kita berbahasa. Bukan macam puak-puak rasis dan cauvinis kafir yang apabila orang Melayu Islam berbudi, mereka ini tak reti bahasa, mau pijak kita punya kepala.

Kita tak ganggu pun adat budaya, apa lagi agama mereka, tapi mereka ini begitu galak menentang agama kita. Menghalang undang-undang Islam dilaksanakan ke atas orang Islam.

Mereka galak dan rasis meminta pendakwah Islam Dr Zakir Naik yang diberi taraf penduduk tetap Malaysia, dihalau. Hingga meminta campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Patutnya, mereka inilah yang dihalau.

Mereka memerangi Islam, tapi bukan dengan senjata, sebaliknya dengan kata-kata dan perbuatan. Berperang tak semestinya dengan senjata, peluru, bom, pedang. Tapi penentangan dengan kata-kata, penulisan, guna tangan, guna kaki dan tindakan lain, juga adalah berperang. Mereka membuat sidang media menyatakan penentangan – maknanya mereka mengisytiharkan peperangan.

Lalu, bolehlah dikatakan mereka ini adalah kafir harbi. Tapi, istilah kafir harbi ini jika kita gunakan terhadap mereka, maka akan ada pula orang Islam sendiri yang masih mahu berlembut dengan puak ini. Bersuara, melarang kita menggelar puak ini kafir harbi. Macam-macam alasan untuk berlembut yang diberi.

Yang Pedang kesalkan ialah ada juga di kalangan umat Islam, tetapi munafik, yang turut bersama mereka. Puak-puak dan juak-juak ini, adalah mereka yang berfikiran liberal yang mengamalkan fahaman Islam liberal, Islam sekular. Sedangkan Islam adalah Islam. Tidak ada Islam liberal, Islam sekular, Islam Barat, Islam Timur atau Islam ekstrem.

Islam yang sebenar adalah Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW. Maliki, Syafi’i, Hambali dan Hanafi hanyalah antara empat mazhab fikh iaitu untuk rujukan pemahaman hukum Islam.

Berbalik cerita dalam warung tadi. Pedang sentiasa ramah, bertanya mereka perwakilan dari negeri mana. Dari negeri-negeri di selatan tanah air.

“Anta pula dari mana”. Soal seorang daripada mereka. “Ana, asal Kedah. Bertugas dengan media, berpejabat di Bandar Baru Bangi”. Jawab Pedang.

“Media? Media mana?”. Soal pula yang lain. “Ana dari Ismaweb.net”. Kata Pedang sambil memperkenalkan nama.

“Ooooo…. inilah Pedang…bagus..bagus. Ana suka baca Kata Pedang… sinis, tajam, tak takut”. Kata pemuda yang awal tadi. “Haaa ini serkap jarang ni… ana bukan Pedang… tak tahu siapa Pedang tu”. Pedang cuba mengelak. Pedang pun pesan makanan dan minuman, sebab dah tengah hari, perut pun lapar dan haus.

Kami menyambung perbualan berkisar kepada muktamar. Pedang cuba-cuba jolok isu penting dan panas di muktamar kali ini – hubungan PAS-PKR dan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Lagipun, mereka ini adalah perwakilan. Mereka adalah pemimpin akar umbi peringkat kawasan dan negeri.

Ini apa yang mereka katakan bersilih ganti. Kata-kata mereka ini Pedang susun menjadi ayat yang sesuai.

PKR dan DAP:

“Memang pun pada peringkat akar umbi, ada desakan hebat supaya kita memutuskan hubungan dengan PKR. Sejak akhir-akhir ini, apabila PRU pula semakin hampir, tindak-tanduk dan serangan PKR terhadap PAS semakin hebat. Kenapa boleh jadi begini, jika tidak kerana ada parti dalam gabungan pakatan harapan yang mencucuk beberapa pemimpin PKR supaya menyerang PAS.

“DAP memang geram dan marah kepada PAS kerana kita memutuskan hubungan dengan mereka, tetapi kita kekalkan diri kita bersama PKR. DAP ternyata menentang Islam, tidak memberi keuntungan kepada Melayu dan Islam. Awalnya memang kita bersama mereka dengan harapan mereka berubah. Tapi mereka degil dan terang-terang menunjukkan sikap yang tidak menguntungkan Islam dan Melayu. Kami sudah memberi peluang kepada mereka. Jadi kami putuskan hubungan.

“Jadi, akar umbi PAS begitu mendesak kepimpinan supaya memutuskan hubungan dengan PKR. Berdasarkan serangan-serangan oleh beberapa pemimpin utama PKR, seperti Rafizi (Ramli – Ahli Parlimen Pandan) dan Azmin (Ali – Menteri Besar Selangor), akar umbi dah tak tahan, lalu mendesak supaya tahaluf siyasi diputuskan. Kami membawa suara akar umbi. Akar umbi akan kecewa jika harapan mereka tidak menjadi kenyataan.”

“Kita serahkan kepada kepimpinan yang ada bagaimana untuk menentukan kedudukan Adun PAS dalam kerajaan negeri Selangor. Jika putusnya tahaluf siyasi dengan PKR bermakna PAS akan keluar daripada kerajaan negeri Selangor. Masa dalam pakatan harapan dulu, memangnya ada perjanjian timbal balas iaitu jawatan MB diberi kepada PKR. Kita dapat yang lain.”

Tidakkah dengan ‘stand alone’, PAS akan terkesan dalam pilihan raya umum (PRU) nanti? Bagaimana jika pertembungan tiga penjuru? Soal Pedang.

“Dari segi jentera pilihan raya, kita memang kuat. Contohnya di Selangor, parti Melayu yang kuar sekarang ini ialah PAS. Akar umbi kita kuat. Sokongan kita kuat. Kita ada isu-isu utama yang akan dibangkitkan ketika pilihan raya. Kita sedia berdiri sendiri dalam Gagasan Sejahtera.

“Kita tidak takut kepada DAP, UMNO, PAN atau PKR atau Bersatu. Kita lawan siapa saja yang masuk bertanding. Kita hendak menjatuhkan UMNO, pakatan harapan juga hendak menjatuhkan UMNO.

“Tapi untuk menjatuhkan UMNO, kita harap akan ada pertandingan dua penjuru. Parti dalam pakatan kena lihat sama ada sesuatu kawasan itu kuat menyokong PAS atau menyokong mereka. Kalau kuat sokong PAS, beri peluang PAS lawan UMNO dua penjuru. PAS tak lihat ada kawasan majoriti Melayu yang sekarang ini kuat memihak kepada Bersatu, atau PAN, malah sokongan terhadap PKR juga sudah merosot. Jadi, jangan ganggu untuk pecahkan undi Melayu dan Islam.”

Bagaimana jika berlaku juga pertandingan tiga penjuru. Contoh, Bersatu, PKR atau PAN bertanding melawan PAS dan UMNO dalam kawasan majoriti orang Melayu. Pengundi Cina dan India tentu tak undi PAS, tapi mereka menyokong Bersatu dan PAN yang duduk serta mendapat bantuan DAP? Soal Pedang.

“Kalau begitu, kami lebih rela dan gembira jika UMNO menang. Sekurang-kurangnya UMNO akan menjaga kepentingan Islam dan Melayu, berbanding parti yang duduk bersama DAP yang menentang Islam. Parti yang duduk bersama DAP tidak mempunyai kekuatan untuk menjaga kepentingan Islam dan Melayu. Kalau macam tu, biarlah UMNO yang menang. Kurang-kurang pun Islam dan Melayu terbela.”

Noktah!

Kata Pedang: Selamat menyambut Hari Pekerja. Jangan beri undi anda kepada kafir yang menentang usaha meninggikan undang-undang Islam di Malaysia.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu.

The post Kenapa akar umbi PAS lebih rela UMNO menang? appeared first on Portal Islam dan Melayu.



Sumber asal dan Bacaan Sepanjutnya di Artikel Portal Islam dan Melayu selanjutnya di Kenapa akar umbi PAS lebih rela UMNO menang?
Tag : agama
0 Komentar untuk "Kenapa akar umbi PAS lebih rela UMNO menang?"

Back To Top